MA63: Pandikar bukan diberi mandat lebih baik diam!
12:12 Dec 02, 2017  |  By SabahKini2
MA63: Pandikar bukan diberi mandat lebih baik diam!

“Saya berpendapat anda tidak boleh menyatakan bahawa Perjanjian Malaysia 1963 tidak penting.- Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg

PETALING JAYA: Pemuda Barisan Nasional Sarawak mengingatkan Tan Sri Pandikar Amin Mulia tidak perlu menilai dan mengajar rakyat negeri itu mengenai kepentingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketuanya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, speaker Dewan Rakyat itu juga tidak perlu mencabar ketua menteri Sarawak berdebat mengenai MA63 kerana beliau bukan individu yang diberi mandat oleh perdana menteri untuk menyelesaikan perkara itu.

“Pemuda BN dan seluruh rakyat Sarawak mempunyai pandangan sama dengan ketua menteri Sarawak kami dan sentiasa menyokong penuh usaha beliau dalam rundingan untuk mengembalikan hak Sarawak seperti termaktub dalam semangat pembentukan Malaysia melalui MA63,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Pandikar dilaporkan berkata, beliau sedia berdebat isu MA63 dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Openg.

Ia selepas Abang Johari mengkritik Pandikar yang menyatakan MA63 bukan dokumen penting dalam pembentukan Malaysia, minggu lalu.

Isnin lalu, Pandikar mengisytiharkan dirinya “pro-Malaysia” dan menyelar pihak yang mendakwa Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi sama rata ketika Persekutuan Malaysia dibentuk.

Beliau menyalahkan “suara tidak bertanggungjawab di luar sana” yang mendakwa hak rakyat Sabah dan Sarawak dirampas.

Fadillah yang juga ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, perjuangan Abang Johari berdasarkan kemahuan dan kepentingan rakyat Sarawak.

“Ianya juga berlandaskan penyelidikan, lunas Perlembagaan, perundangan Malaysia dan atas semangat di sebalik pembentukan Malaysia melalui MA63,” katanya.

Beliau yakin isu itu dapat diselesaikan bersama secara permuafakatan oleh kepimpinan ketua menteri Sarawak dan Datuk Seri Najib Razak.

“Perdana menteri bersetuju melihat perkara ini dan membentuk jawatankuasa bersama bagi membincangkan lebih lanjut perkara ini.

“Ini adalah perkembangan positif dan kita menyambut baik saranan perdana menteri supaya perkara ini dibawa ke meja rundingan,” katanya.

29 November lalu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebentar tadi menegaskan pendiriannya yang tidak bersetuju dengan kenyataan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin yang mengatakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai tidak penting.

Menurutnya, pandangannya berhubung perkara itu adalah berbeza daripada pandangan Pandikar.

“Saya berpendapat anda tidak boleh menyatakan bahawa Perjanjian Malaysia 1963 tidak penting.

“Ia sangat penting kerana mengandungi hak-hak kewilayahan Sabah,  arawak dan Semenanjung Malaysia, seterusnya menjadi asas kepada perjanjian tersebut,” katanya 

Menjadi persoalan mengapa Yang Dipertua Dewan Rakyat ini semakin lantang mengenai MA63 sejak akhir-akhir ini. Apakah beliau mahu mengambil tindakan populis untuk kembali bertanding sebagai wakil rakyat? Netizen Sabah dan Sarawak berpendapat Pandikar lebih baik diam dari merepek untuk politik peribadi.

 

 

 

 

Comment