Pelantikan Latheefa muktamad, tak akan 'U-Turn' kata PM
11:06 Jun 08, 2019  |  By SabahKini2
Pelantikan Latheefa muktamad, tak akan 'U-Turn' kata PM

Sekalipun ditegur oleh Anwar Ibrahim dan beberapa pemimpin Pakatan Harapan Tun M bertegas tidak akan berganjak. Keputusan muktamad untuk Latheefa.

WALAUPUN dihujani pelbagai kritikan, pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah muktamad.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak akan berganjak dengan keputusannya itu dengan menukar individu lain menerajui jawatan nombor satu SPRM.

“Saya terpaksa melantik pegawai kerajaan lain dan Latheefa adalah salah satu daripadanya yang tidak sepatutnya dijadikan isu atau boleh menimbulkan sebarang masalah.

“Tiada masalah... saya lantik ramai orang, banyak pegawai saya terpaksa lantik. Ini salah satu pegawai, itu saja.

“Ia sudah diputuskan (pelantikan Latheefa).. jadi ia muktamad...tak kan nak kalih balik (tukar keputusan) nanti kata saya ‘u-turn’ pula,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas gesaan beberapa pihak yang menyoal tindakannya melantik Latheefa tanpa melalui proses pengesahan Jawatankuasa Parlimen seperti dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya lalu.

Sementara itu, Dr Mahathir menjelaskan bahawa hubungannya dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah baik dan tidak terjejas berikutan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru.

“Hubungan kami baik, saya tiada masalah dengan Anwar.

“Dia berhak untuk bertanya dan saya pula berhak untuk menjawab,” katanya.

Semalam, Anwar meluahkan bahawa Dr Mahathir perlu memperjelaskan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru.

Anwar berkata, terdapat beberapa isu seperti Kabinet tidak dimaklumkan, pelantikan tidak selaras dengan Akta SPRM dan soal pelantikan tidak selari dengan janji dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH), yang perlu dijelaskan.

Terdahulu, Dr Mahathir hadir ke Rumah Terbuka Rakyat Bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Seri Mentaloon, Alor Setar.

Beliau ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali meluangkan masa kira-kira sejam untuk beramah mesra bersama orang ramai sebelum pulang jam 2 petang tadi.

3 Comments