Mangsa setinggan Karamunting terbakar akan diberi rumah PPR - Datuk VK Liew
16:06 Jun 10, 2019  |  By SabahKini2
Mangsa setinggan Karamunting terbakar akan diberi rumah PPR - Datuk VK Liew

Datuk Liew Vui Keong, berkata kejadian kebakaran itu adalah kali keempat sejak beliau menjadi Ahli Parlimen kawasan itu. Empat kes kebakaran direkodkan berlaku di kawasan Batu Sapi antaranya di Kampung Gas dan terbaharu di Karamunting.

SANDAKAN: Kebakaran memusnahkan puluhan rumah di Kampung Karamunting, dekat sini, kelmarin, dipercayai berpunca daripada kecuaian penghuni.

Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong, berkata kejadian kebakaran itu adalah kali keempat sejak beliau menjadi Ahli Parlimen kawasan itu. Empat kes kebakaran direkodkan berlaku di kawasan Batu Sapi antaranya di Kampung Gas dan terbaharu di Karamunting.

“Saya dimaklumkan kebakaran disyaki berpunca daripada kecuaian ketika memasak dan saya ingin tegaskan supaya penduduk Batu Sapi jangan tinggalkan penghuni yang sudah berusia serta kurang upaya di rumah.

Sementara itu bagi membantu mangsa kebakaran rumah setinggan itu, unit rumah kosong di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sini diharap dapat disewakan kepada mangsa kebakaran yang layak memohon, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Liew yang juga Anggota Parlimen Batu Sapi meminta Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah (KKTP) dapat mempercepatkan sebarang urusan PPR berkenaan bagi membolehkan mangsa kebakaran di kawasan itu mendapat tempat tinggal.

"Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Karamunting sendiri iaitu George Hiew Vun Zin merupakan Pembantu Menteri KKTP, kita harap urusan PPR ini dapat disegerakan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Semalam, 23 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Karamunting Baru di sini pada jam 2 petang dan seramai 33 keluarga menjadi mangsa insiden kebakaran itu.

"Kesemua mangsa kebakaran ini yang layak memohon PPR, harap dapat dibenarkan menyewa misalnya mangsa kebakaran Kampung Air pada Mac lepas sehingga kini masih lagi menetap di dewan serbaguna.

"Keputusan mesti dibuat dengan cepat, mereka perlu dibantu, mereka adalah pengundi kita," katanya.

Sementara itu, Liew berkata perbincangan telah diadakan bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk menstruktur semula tapak penempatan yang terbakar namun perkara itu perlu penelitian lanjut.

"Di Batu Sapi ini ada 18 penempatan dengan hanya tujuh sahaja ada status perkampungan.

"Baki 11 lagi penempatan tidak berstatus ekoran sama ada penduduk menduduki tanah yang ada pemilik (pemilik itu sendiri menyewakan tempat itu kepada orang awam atau tanah itu dicerobohi)," katanya.

Sekiranya kawasan itu sudah diiktiraf sebagai kampung baru, tempat itu dapat distruktur lebih baik dengan pemberian lot rumah mengikut nama, katanya.

 

 

1 Comment