Kes bunuh Tawau : 4 remaja PTI Filipina ditahan
13:06 Jun 12, 2019  |  By SabahKini2
Kes bunuh Tawau : 4 remaja PTI Filipina ditahan

Semua suspek warga Filipina itu ditahan di beberapa lokasi berasingan di Jalan Dunlop, kawasan Sabindo dan Taman Semarak Megah

TAWAU: Polis menahan empat remaja lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemui dalam longkang berhampiran kawasan letak kereta premis menjual kelengkapan rumah di Jalan Bantu, Fajar, di sini petang semalam

Ketua Polis Daerah Tawau, Pemangku Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata empat remaja itu masing-masing berumur antara 16 hingga 17 tahun ditahan antara jam 1.45 tengah hari hingga jam 4.40 petang.

Katanya, semua suspek warga Filipina itu ditahan di beberapa lokasi berasingan di Jalan Dunlop, kawasan Sabindo dan Taman Semarak Megah, di sini.

“Siasatan lanjut yang dijalankan mendapati motif kejadian berpunca daripada suspek yang tidak puas dengan mangsa kerana menuduh mereka pencuri dan peragut," katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.

Semalam mayat seorang lelaki yang dikenali sebagai Jaafar Jalman, 49, ditemui dalam longkang dipercayai dibunuh kira-kira jam 5 petang.

Mayat mangsa yang lengkap berpakaian ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam longkang yang dipenuhi dengan semak samun dengan kesan luka tikaman pada bahagian dada sebelah kanan dan bahagian tengkuk sebelah kiri.

Polis turut menemui sebatang pemutar skru dan sebilah pisau berhampiran tempat mayat mangsa ditemui dipercayai digunakan dalam kejadian terbabit.

Sementara itu, Peter berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

“Kita sedang mengenalpasti motif sebenar kes pembunuhan ini,” katanya.

Comment