Kematian 14 orang asli: Siasat dan sita lombong haram
22:06 Jun 12, 2019  |  By SabahKini2
Kematian 14 orang asli: Siasat dan sita lombong haram

Kematian misteri Orang Asli belum terjawab. Apakah kerana pencemaran perlombongan haram yang berdekatan dengan Kuala Koh? Paling misteri Kerajaan Negeri tidak tahu kewujudan kilang haram itu.Mengapa tidak disita?

KUALA LUMPUR: Nampaknya selepas berlaku 14 kematian misteri membabitkan orang asli di Kuala Koh, Gua Musang kekal misteri walaupun dua daripadanya disahkan akibat radang paru-paru atau pneumonia.  

Punca kematian bagi 12 mangsa yang lain tidak dapat dikenal pasti kerana mayat sudah disemadikan di Kuala Koh mengikut adat suku kaum di sana.

Susulan daripada itu Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan Senator Datuk Husam Musa mencadangkan supaya satu jawatankuasa forensik bebas ditubuhkan berikutan isu kematian orang asli di Kuala Koh masih belum menemukan punca konkrit.

“Saya berharap semua pihak termasuk kerajaan negeri bekerjasama mencari punca sebenar kejadian dan jumlah kematian yang besar dalam masa singkat tanpa tujuan melindungi apa-apa,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail berkata akan menangani isu kebajikan hal ehwal orang asli di Kuala Koh.

“Kejadian yang menimpa orang asli Kuala Koh adalah peristiwa kemanusiaan untuk iktibar serta perhatian kita bersama. Atas ihsan kemanusiaan masalah orang asli adalah masalah kita semua,” katanya.

Lombong haram


Jentera lombong ini masih ada di lombong haram. Mengapa tidak disita

Kerajaan Kelantan digesa menyiasat kewujudan sebuah lombong haram berdekatan penempatan Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, yang dikhuatiri mencemarkan sumber air di perkampungan berkenaan.

Datuk Husam Musa, berkata ini kerana Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang melawat Kuala Koh sebelum ini mengesahkan lombong berkenaan beroperasi tanpa lesen.

Beliau berkata, siasatan itu perlu disegerakan memandangkan tiada maklumat menyatakan nama pelombong atau sebarang maklumat lain dipamerkan di kawasan lombong berkenaan.

Katanya, ketika lawatan dibuat, lombong berkenaan masih beroperasi, manakala penyelia lombong mengaku menggunakan bahan letupan yang tidak dinyatakan jenis bahan kimia digunakan.

“Ini lombong terdekat dengan penempatan Orang Asli Kuala Koh. Terdapat dua anak sungai mengalir dari sini.

“Sama ada kematian Orang Asli berpunca daripada pencemaran lombong ini atau tidak, pihak penguatkuasa perlu bertindak. kerana lombong beroperasi tanpa lesen. Kenapa mereka belum bertindak? Dan tentunya senarai ingin tahu yang panjang berkaitan lombong ini. Siapa yang mengaut keuntungan? Berapa banyak?

“Harap Kerajaan Kelantan dapat berbuat sesuatu dan agensi Kerajaan Persekutuan juga tidak berdiam diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Setakat ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan sudah mengambil sampel air dari tiga lokasi di Kampung Kuala Koh, bagi menganalisis tahap pencemarannya.

Dua sampel diambil di kolam takungan di kawasan lombong, manakala satu lagi diambil di tadahan bukit dan semua sampel air itu dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis dengan keputusannya akan diketahui dalam masa seminggu.

 

Kerajaan Negeri tidak tahu

Sementara itu Kerajaan Kelantan membuat kenyataan perlombongan haram yang berlaku di Kuala Koh berada di luar pengetahuannya.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang enggan mengulas perkara itu sebaliknya meminta media mendapatkan maklumat daripada pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri.

“PTG ada maklumat lengkap, sama ada pihak berkenaan melombong secara haram, berlesen atau mempunyai lesen tamat tempoh.

“Apa tindakan susulan atau penyelesaian juga perlu diperoleh daripada PTG,” katanya pada sidang akhbar mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim.

 

Kerajaan Negeri dikecam

Kenyataan Kerajaan Negeri ‘tidak tahu’ itu diselar oleh Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.  

Beliau berkata mustahil kerajaan Kelantan tidak mengetahui terdapat kawasan perlombongan bijih besi berhampiran penempatan penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh, Gua Musang.

Beliau menyifatkan kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah yang menafikan perkara itu sebagai tidak masuk akal.

Beliau berkata, semakan pihaknya menunjukkan pelombong itu mendapat lesen untuk melombong sehingga 2023.

“Sebelum sesebuah syarikat itu dibenarkan melombong di sesuatu kawasan, mereka perlu mendapatkan lesen melombong daripada kerajaan negeri dan lesen pengoperasian daripada kerajaan pusat, jika tidak mereka dikategorikan sebagai pelombong haram.

“Hasil semakan, kita mendapati syarikat berkenaan memperoleh lesen perlombongan sehingga 2023…tetapi lesen pengoperasian yang dikeluarkan kerajaan pusat telah tamat pada 2017 disebabkan syarikat itu tidak mematuhi Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

“Jadi, kenyataan itu (tiada kawasan perlombongan bijih besi) memang tidak masuk akal kerana saya sendiri turun padang dan mesin untuk menjalankan kerja berkenaan masih ada di kawasan itu,” katanya 

 

Empat hari Kerajaan Negeri Kelantan masih gagal sahkan lombong haram

Sementara itu Husam Musa mempertikaikan tindakan kelewatan Kerajaan Negeri khususnya Timbalan Menteri Besar mengesahkan status lombong haram.  

Timbalan Menteri Besar meminta pihak berkaitan merujuk kepada pejabat tanah dan galian.

“Sudah hari keempat di mana PTG? Sama ada PTG enggan menyalurkan maklumat atau TMB lupa meminta maklumat berkenaan.

Tidak perlu berteka teki terlalu lama.

Andai kata benar terdapat lombong haram berkenaan, persoalan seterusnya ialah apakah tindakan yang akan diambil oleh kerajaan Negeri atau Pusat?”.katanya

 

 

 

1 Comment