Dua penagih tetak pembantu kedai Pakistan ditangkap polis
17:06 Jun 15, 2019  |  By SabahKini2
Dua penagih tetak pembantu kedai Pakistan ditangkap polis

Hasil ujian saringan awal air kencing menunjukkan kedua-dua suspek disahkan positif dadah jenis syabu,

Tuaran: Dua penagih syabu yang terlibat kes samun dan menetak seorang pembantu peniaga warga Pakistan di salah sebuah kedai runcit di Pekan Tuaran, 8 Jun lalu, ditahan polis di rumah masing-masing.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata dalam kenyataannya pada Jumaat, kedua-dua suspek lelaki berusia 19 tahun dan 26 tahun merupakan warga tempatan.

“Hasil ujian saringan awal air kencing menunjukkan kedua-dua suspek disahkan positif dadah jenis syabu,” katanya pada sidang media sempena Majlis Serah Tugas Ketua Polis Balai Tamparuli.

Dalam majlis berkenaan, bekas Ketua Polis Tamparuli, Sarjan Mejar (SM) Haji Jemrin Majid bersara wajib selepas 40 tahun berkhidmat dan digantikan Pemangku Ketua Polis Balai Tamparuli, Sarjan Jaafar Yassee untuk sementara waktu.

Mohd Hamizi mengulas lanjut, pihak polis masih berusaha mendapatkan telefon bimbit mangsa manakala senjata pisau pemotong daging yang digunakan suspek untuk menetak mangsa dirampas.

“Selain itu melalui rakaman litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, pihak polis juga turut merampas dua topi keledar, kenderaan motosikal Modenas Kriss 110cc, pakaian, selipar dan kasut milik suspek untuk perbandingan”.

“Suspek disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun serta mendatangkan kecederaan,” katanya.

 

Comment