681 kumpulan kongsi gelap, 9,042 anggota dikenal pasti - Pengarah JSJ
17:06 Jun 24, 2019  |  By SabahKini2
681 kumpulan kongsi gelap, 9,042 anggota dikenal pasti - Pengarah JSJ

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata polis menahan 627 individu yang disyaki anggota kumpulan kongsi gelap dalam Op Cantas yang dijalankan dari Januari hingga Sabtu lepas.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 681 kumpulan kongsi gelap dikenal pasti bertapak di negara ini dengan bilangan keanggotaan 9,042 orang yang kini dalam pemantauan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata polis menahan 627 individu yang disyaki anggota kumpulan kongsi gelap dalam Op Cantas yang dijalankan dari Januari hingga Sabtu lepas.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 19 orang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1957 (Poca) dengan majoriti yang ditangkap adalah rakyat tempatan.

Tindakan drastik akan diambil terhadap kumpulan kongsi gelap di bawah peruntukan-peruntukan yang ada antaranya Kanun Keseksaan yang menggunakan peruntukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), katanya pada sidang akhbar khas di Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau berkata sejak Sosma diwujudkan, seramai 535 individu telah ditahan untuk membantu siasatan dan 456 orang dituduh kerana menjadi anggota kumpulan jenayah terancang.

“Tindakan tegas perlu dilaksanakan agar kegiatan gangsterisme dihapuskan. 

Tindakan mengikut peruntukan di bawah Sosma, Poca, Kanun Keseksaan, Akta Senjata 1960 dan lain-lain akan dipergiatkan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata Sosma walaupun kini di peringkat akhir kajian oleh Kementerian Dalam Negeri, masih boleh diguna pakai bagi membanteras jenayah terancang yang melibatkan kesalahan serius mengikut Bab VIB Kanun Keseksaan. - Bernama 

4 Comments