SPRM tahan CEO E-Idaman Sdn Bhd kerana ‘tabung kelab’ tender sampah di Perak dan Perlis
11:06 Jun 25, 2019  |  By SabahKini2
SPRM tahan CEO E-Idaman Sdn Bhd kerana ‘tabung kelab’ tender sampah di Perak dan Perlis

Akhirnya Mhd Saiful Anuar bin Zainal CEO E-Idaman yang menganggap kebal sejak syarikat itu memperolehi konsesi sisa pepejal terpaksa meringkuk dalam penjara SPRM kerana rasuah dan 'Kaki Pau'.

KUALA LUMPUR: Kemelut agihan tender kutip sampah oleh syarikat pengurusan sisa pepejal bagi Kedah dan Perlis memasuki episod baharu apabila  Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat E-Idaman Sdn Bhd, Mhd Saiful Anuar bin Zainal dan seorang individu lain ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

CEO berusia 50 tahun dan pengurus kontrak dan perolehan berusia 34 tahun ditahan petang semalam di Alor Setar bagi membantu siasatan berhubung perolehan tender dan kewujudan satu tabung kelab berunsurkan rasuah.

Difahamkan, penahanan itu berlaku selepas beberapa kontraktor menghantar bantahan kerana tidak puas hati berhubung pengagihan kontrak kepada beberapa kroni CEO terbabit.

Sebelum ini, syarikat itu juga dikatakan menekan kakitangan dengan merampas telefon bimbit serta laptop berikutan penyebaran bukti salah guna kuasa ini.

Sumber berkata, anggaran projek bagi pengurusan sisa pepejal di kedua-dua negeri itu berjumlah RM360 juta setahun.

Katanya, siasatan mendapati pihak yang terbabit dikesan menubuhkan satu tabung kelab yang kononnya untuk menjaga kebajikan syarikat-syarikat kontraktor.

“Semua kontraktor yang berjaya dalam tender diwajibkan untuk menyumbangkan satu hingga dua peratus daripada nilai projek ke dalam tabung ini dan dianggarkan setiap tahun, sebanyak RM3.6 juta, dipercayai satu peratus daripada keseluruhan RM360 juta disumbangkan dalam tabung ini.

“Tetapi risikan SPRM selama lebih enam bulan mendapati tabung ini disalahgunakan untuk membeli harta, kenderaan dan lawatan peribadi ke luar negara,” kata sumber.

Mengulas lanjut, sumber berkata, SPRM percaya tabung ini sebenarnya digunakan sebagai kaedah mengutip wang rasuah daripada kontraktor, bertujuan mengaburi pihak berkuasa.

Selain itu, penyelewengan dalam proses tender dikesan mengakibatkan syarikat yang tidak memenuhi syarat dipilih, terutama berkaitan jumlah pekerja yang mencukupi dan keupayaan lori.

“Syarikat yang memenuhi syarat tidak dipilih dan sebaliknya dikehendaki menjalankan kerja mengutip sisa pepejal sebagai subkontraktor kepada pihak yang terpilih tetapi tiada kelengkapan,” katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tetapi beliau enggan mengulas lanjut.

Siasatan dijalankan di bawah seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan kedua-dua suspek yang ditahan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini untuk permohonan reman di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

 

[LAPORAN] ADUAN RASUAH SYARIKAT E-IDAMAN SDN BHD

1. Merujuk kepada keputusan tender terbuka kutipan sampah yang telah diumumkan oleh pihak Syarikat Environment Idaman Sdn Bhd pada 10hb Jun 2019 dan juga Taklimat Penganugerahan Kontrak yang telah diadakan pada 12hb Jun 2019 di hotel Grand Alora, Kedah.

2. Kami kontraktor-kontraktor (lama) yang sedia ada sejak Environment Idaman bertapak di Kedah dan Perlis tidak berpuas hati atas cara tender dilakukan dan juga cara pemilihan kontraktor-kontraktor baru yang dipilih.

3. Kami ingin pihak SPRM menyelidik dan membuat siasatan terperinci kriteria-kriteria tender yang membolehkan sebuah syarikat baru mendapat kontrak tender yang dikeluarkan oleh Syarikat Environment Idaman Sdn Bhd

4. Siasatan terperinci perlu dilakukan kerana kami percaya bahawa tender ini telah diatur untuk sesetengah pihak dari pihak pengurusan Environment Idaman termasuk Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua Bahagian Kontrak dan Lembaga Pengarah untuk memberi kontrak-kontrak kutipan sampah ini kepada syarikat-syarikat kroni, proksi, kawan-kawan dan ahli keluarga terdekat yang terbuktinya tiada mempunyai lori kutipan sampah dan juga tenaga pekerja yang sepatutnya.

5. Mengapa syarikat-syarikat baru ini diberikan kontrak walhal pihak Syarikat Environment Idaman sudah megenal pasti yang syarikat-syarikat ini tidak ada kelengkapan aset yang diperlukan untuk melaksanakan tugas operasi pada 1hb Julai 2019? Adakah pemilihan mereka tidak mengikut aturan-aturan Tender Syarikat Environment Idaman? Siapa yang memilih syarikat-syarikat ini untuk mendapat kontrak kutipan ini?

6. Dan pada hari taklimat 12hb Julai 2019, kami terkejut kerana Syarikat Environment Idaman telah memberi kata putus bahawa syarikat baru boleh memberi kontrak mereka kepada pihak ketiga (syarikat outsource) untuk melaksanakan operasi selama 6 bulan sehinggalah syarikat-syarikat baru yang dipilih sebelum ini boleh membeli aset dan melengkapkan keperluan yang lain. Tetapi ini telah melanggar salah satu syarat surat tawaran yang diberi pada para 17 (F) menjelaskan bahawa kontrak-kontrak yang diberi tidak boleh dilaksanakan oleh pihak ketiga (Syarikat Outsource) tetapi perlu dilaksanakan oleh syarikat yang mendapat kontrak itu sendiri. Mengapa kelonggaran dibuat sebegini untuk memudahkan syarikat-syarikat baru menjalankan kerja?

7. Kami lampirkan di bawah senarai nama-nama syarikat yang telah dikurniakan kontrak kutipan sampah dari Syarikat Environment Idaman yang tiada kelengkapan aset untuk siasatan yang lebih lanjut dari pihak SPRM:-

 

Nama Syarikat

Kawasan Kutipan

1

Syarikat Perniagaan Azza
Sungai Petani

2

Warisan Intergriti
Baling

3

Mohd Zulkarnain Enterprise
Langkawi

4

Budipadu Mantap Sdn Bhd
Kulim 

5

Nis Express Sdn Bhd
Sungai Petani

Syarikat Firwan Merican
Kubang Pasu

7

Jaico Enterprise
Kulim

8

Damai Abadi Enterprise
Sungai Petani

9

Mazhar Sdn Bhd
Sungai Petani

10

Datasha Sdn Bhd
Langkawi

 

Nota:

Syarikat- syarikat bernombor 5,6 dan 9 mempunyai pengalaman kutipan tetapi tiada aset kutipan yang mencukupi untuk melaksanakan kutipan sampah pada 1hb Julai 2019. Ini tidak termasuk 3 buah lagi syarikat yang baru iaitu Galaksi Teguh Enterprise, Ushamas (M) Sdn Bhd dan D Hujung Enterprise yang belum kami terima kepastian tentang lori-lori kutipan mereka.

8. Kami berharap siasatan segera dilakukan oleh pihak SPRM berkenaan tender kutipan syarikat Environment Idaman kerana sudah sahih pihak syarikat tidak mengikut proses aturan tender yang betul dan juga terdapat penggunaan salah guna kuasa dari pihak pengurusan tertinggi syarikat ini bagi membolehkan syarikat-syarikat baru yang mendapat kontrak kutipan tanpa kriteria-krietria yang telah ditetapkan.

Akhir kata kami memohon Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi mengarahkan siasatan segera terhadap proses tender syarikat Environment Idaman Sdn Bhd dan juga siasatan terperinci terhadap pihak pengurusan tertinggi syarikat tersebut kerana peranan mereka dalam pemilihan kontraktor-kontraktor baru yang tidak memenuhi kriteria tender.

 

3 Comments