Jambatan Sungai Damit dinanti penduduk tujuh kampung - Jahid Jahim
09:06 Jun 27, 2019  |  By SabahKini2
Jambatan Sungai Damit dinanti penduduk tujuh kampung - Jahid Jahim

Jambatan bernilai RM18 juta yang dijadualkan siap lima bulan dari sekarang dan dinantikan oleh penduduk Kampung Sawah, Sungai Damit, Bintangor, Pitas, Bantayan, Damat dan Bontoi, Tamparuli lebih 30 tahun itu, mula dibina April tahun lepas sebelum PRU14

TUARAN: Pembinaan jambatan menyeberangi Sungai Damit bagi menghubungkan pekan Tuaran dan Tamparuli bakal menjadi kemudahan baharu lebih 7,000 penduduk dari tujuh perkampungan di daerah ini.

Jambatan bernilai RM18 juta yang dijadualkan siap lima bulan dari sekarang dan dinantikan oleh penduduk Kampung Sawah, Sungai Damit, Bintangor, Pitas, Bantayan, Damat dan Bontoi, Tamparuli lebih 30 tahun itu, mula dibina April tahun lepas sebelum PRU14 oleh kerajaan BN bagaimanapun diteruskan pembinaannya.

Jambatan konkrit itu bakal memudahkan penduduk tujuh perkampungan terbabit untuk ke pekan Tuaran, apabila tidak perlu lagi menggunakan bulatan Berungis-Tuaran yang lalu lintas sentiasa sesak sejak 20 tahun lalu.

Penduduk Kampung Sawah, Japar Rani, 60, berkata jambatan sepanjang 104 meter itu sudah lama ditunggu penduduk kampung.

“Oleh itu, penduduk berharap pembinaan kemudahan itu dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya kepada Bernama di sini.

Menurutnya ketika ini, penduduk tujuh perkampungan berkenaan terpaksa menggunakan jambatan gantung usang dan berbahaya berusia lebih 30 tahun untuk ke pekan Tuaran.

Japar berkata, jambatan baharu itu boleh menyelesaikan masalah perhubungan terutama membabitkan tujuh perkampungan di Tamparuli, yang hanya terletak pada seberang sungai menyebabkan terpisah dengan Tuaran.

Tinjauan Bernama mendapati, kontraktor yang dilantik kerajaan sedang giat menyiapkan tapak jambatan serta struktur utama kemudahan itu.

Mengikut pelan, jambatan menyeberang Sungai Damit itu mempunyai reka bentuk sama dengan jambatan kedua menyeberang Sungai Tamparuli, sekali gus menjadikan daerah ini memiliki dua jambatan sama kelak.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli Datuk Jahid Jahim berkata dengan terbina jambatan itu, pengguna dari Tuaran tidak perlu lagi ke Tamparuli untuk sampai ke beberapa perkampungan di seberang sungai itu kerana jarak perjalanan dipendekkan dengan adanya kemudahan itu.

Sehubungan itu, Jahid berharap pengguna dapat memanfaatkan kemudahan itu nanti untuk mengubah landskap ekonomi mereka dengan menceburi pelbagai bidang perniagaan yang bakal wujud sepanjang laluan itu. — Bernama

Comment