Tak perlu berbalah tentang MA63 - Teo
04:12 Dec 04, 2017  |  By SabahKini2
Tak perlu berbalah tentang MA63 - Teo

"Pandikar berhak menyatakan pendapat peribadi beliau tetapi seperti yang telah saya katakan sebelum ini, secara substantif, kita berbeza daripada semua negeri lain di Tanah Melayu. Ini adalah satu fakta yang tidak boleh dinafikan."

KOTA KINABALU: Menteri Tugas-Tugas Khas Dalam Negeri Datuk Seri Panglima Teo Chee Kang berkata tak perlu libatkan diri dalam perang mulut mengenai isu MA63 ataupun status Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan.

Katanya setakat yang menjadi keutamaan kepada Kerajaan Negeri Sabah ialah, kedua-dua negeri Borneo ini lebih istimewa berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung. Ia termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak dapat diubah.

Beliau berkata Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa perundangan bukan sahaja berkenaan perkara-perkara di bawah Senarai Negeri, tetapi juga mengenai tanah, sumber asli, kerajaan tempatan dan banyak lagi juasa prerogatif yang lain seperti imigresen yang tidak dinikmati oleh mana-mana negeri di Semenanjung Malaysia. Di samping itu, terdapat banyak lagi perkara yang dijamin oleh perlembagaan serta peruntukan geran khas untuk negeri-negeri Borneo di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai respon kepada pendapat Speaker Dewan Rakyat yang mengatakan bahawa kedudukan Sabah adalah sama seperti negeri-negeri lain di Semenanjung Teo yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hak Istimewa Negeri berkata,

"Pandikar berhak menyatakan pendapat peribadi beliau tetapi seperti yang telah saya katakan sebelum ini, secara substantif, kita berbeza daripada semua negeri lain di Tanah Melayu. Ini adalah satu fakta yang tidak boleh dinafikan."

Beliau berkata sepatutnya penumpuan tidak tertumpu kepada hal-hal berkaitan istilah semata-mata, sebaliknya kepada perkara pokok yang lebih besar. Sambil itu beliau menambah bahawa isu itu tidak sepatutnya digunakan untuk kepentingan politik.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa Kerajaan Sabah mempunyai cara tersendiri dalam berunding bersama Kerajaan Persekutuan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan pemulihan hak serta penurunan kuasa kepada kerajaan negeri.

"Jawatankuasa Hak Istimewa Negeri dipertanggungjawabkan untuk menguruskan perkara ini dan saya percaya kami sedang menuju ke arah yang betul," katanya.

Teo yang juga presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) berkata, baru-baru ini YAB Perdana Menteri telah memberi jaminan bahawa sekiranya ada hak Sabah yang tidak sengaja diambil oleh Kuala Lumpur akan dikembalikan.

"Jaminan PM itu menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan komited untuk menyelesaikan semua isu berkaitan MA63 dengan Sabah," kata Teo.

Semasa melancarkan Kongres Parti Bersatu Sabah (PBS) yang ke-32 pada 18 November lalu, Najib berkata beliau turut sama berkongsi sentimen mengenai MA63 dan telah meminta rakyat Sabah memberi masa kepada kerajaan untuk mentafsir serta mengkaji Perjanjian Malaysia 1963 itu terlebih dahulu sebelum membuat sebarang perubahan atau pembetulan.

Teo seterusnya mengulas bahawa adalah lebih penting untuk menegakkan hak-hak kita yang substantif di bawah undang-undang dan bukannya sibuk menghujahkan pasal istilah.

"Saya percaya kita semua mahu apa yang terbaik untuk Sabah, Sarawak yang bersangkutan dengan MA63, dan sebagai pihak yang bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia. Jadi marilah kita bersatu-padu bekerja dalam usaha ke arah mencapai objektif tunggal ini, "katanya.

2 Comments