(VIDEO) Tun M ajak parti Melayu termasuk UMNO bergabung dengan Bersatu
09:07 Jul 06, 2019  |  By SabahKini2
(VIDEO) Tun M ajak parti Melayu termasuk UMNO bergabung dengan Bersatu

"Untuk memperkuatkan balik parti UMNO, kita mesti lupakan saja perselisihan antara kita. Jangan kira siapa tapi kerana perjuangan".

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengajak parti Melayu, termasuk UMNO, supaya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi mengelakkan bangsa Melayu berpecah.

Pengerusi Bersatu itu berkata, Johor pernah menjadi kubu kuat UMNO, tetapi selepas parti itu hilang arah, Bersatu dapat membuka jalan memasuki negeri ini.

Beliau juga mendapati sekarang ini semakin banyak parti Melayu diwujudkan, sekali gus mengurangkan potensi untuk memenangi pilihan raya.

Berucap pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Bersatu Johor di Johor Jaya, hari ini, beliau berkata, parti Melayu kini berpecah kepada enam, berbanding satu parti sebelum ini.

“Tapi kerana tamakkan kedudukan, hari ini orang Melayu berpecah enam… bukan lagi majoriti 60 peratus, tapi setiap parti hanya 10 peratus sahaja.

“Saya harap mereka yang masih dalam UMNO perlu ingat, kita perlu bersatu untuk berjuang.

“Sebelum ini saya pernah mengajak orang Melayu menyertai UMNO, tapi sekarang saya mengajak mereka menyertai Bersatu,” katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Perdana Menteri berkata:

“Ya… sertai Bersatu. Apabila kumpulan kita besar, kita akan menjadi kuat… tapi jangan halang pihak lain untuk menyertai parti (Bersatu). Biar mereka sertai.

“Jika kita berpecah, kita akan menjadi lemah… bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Tetapi, kita dapati terdapat individu yang membentuk parti baharu… sekarang kita menjadi enam. Tak lama lagi 10 dan kemudian 100.

“Terdapat 30 orang dalam satu parti… bagaimana untuk menang (pilihan raya),” katanya ketika ditanya sama ada beliau menjemput semua parti Melayu untuk menyertai Bersatu bagi menguatkan orang Melayu.

2 Comments