Malakoff beli kepentingan Khazanah dalam Malaysian Shoaiba Consortium RM289 juta
10:07 Jul 14, 2019  |  By SabahKini2
Malakoff beli kepentingan Khazanah dalam Malaysian Shoaiba Consortium RM289 juta

Pengambilalihan itu akan memberikan pertambahan pendapatan segera kepada Malakoff di samping meningkatkan aliran tunainya.

KUALA LUMPUR: Malakoff Corp Bhd (Malakoff) mengambilalih 40 peratus kepentingan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dalam Malaysian Shoaiba Consortium Sdn Bhd (MSCSB) dengan nilai AS$70 juta (RM289 juta).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Malakoff berkata langkah itu dibuat bertujuan untuk menyumbang perolehan yang lebih besar kepada syarikat.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, berkata anak syarikat milik penuh tidak langsung Malakoff, Malakoff Gulf Ltd telah memeterai perjanjian jualan saham dengan Khazanah.

“Ia berhubung pengambilalihan keseluruhan kepentingan dalam Desaru Investments (Cayman Isl.) Ltd yang mana ia memiliki 40 peratus saham dalam Shoaiba Consortium.

“Pada masa ini, Malakoff Gulf memiliki baki 40 peratus manakala Tenaga Nasional Bhd memegang baki 20 peratus,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengambilalihan itu akan memberikan pertambahan pendapatan segera kepada syarikat di samping meningkatkan aliran tunainya.

“Ia menerusi baki kontrak 10 tahun lagi di bawah perjanjian pembelian air dan kuasa Shuaibah Water & Electricity Co Ltd bagi Loji Kuasa dan Air Bebas Shuaibah 3.

“Ia juga termasuklah perjanjian pembelian air di bawah Shuaibah Expansion Project Company (SEPCO) bagi Pengembangan Loji Air Bebas Shuaibah 3.

“Cadangan pengambilalihan itu akan meningkat dan mengukuhkan kapasiti janaan efektif Malakoff bagi kuasa dan air kepada 6,708 MW dan 544,375 meter padu sehari daripada 6,600 MW dan 420,925 meter padu sehari sebelum ini,” katanya.

Shoaiba Consortium memegang 50 peratus kepentingan dalam Saudi-Malaysia Water & Electricity Company Ltd, yang seterusnya memegang 60 peratus dalam Shuaibah Water & Electricity dan 60 peratus dalam SEPCO.

Shuaibah Expansion mempunyai 97.5 peratus kepentingan dalam SEPCO. Saudi-Malaysia Water & Electricity juga mempunyai kepentingan langsung dalam SEPCO sebanyak satu peratus.

Berikutan pengambilalihan itu, kepentingan ekuiti efektif tidak langsung Malakoff dalam Saudi-Malaysia Water & Electricity dan AOMC akan meningkat kepada 40 peratus manakala MSCSB akan menjadi anak syarikat tidak langsung dengan 80 peratus kepentingan.

Malakoff adalah syarikat milik taikun Melayu Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari.

 

1 Comment