Video Semburit: Hamid dedah terima tekanan pembangkang
18:07 Jul 20, 2019  |  By SabahKini2
Video Semburit: Hamid dedah terima tekanan pembangkang

Tekanan diberikan semakin hari semakin meningkat. Saya lihat orang politik banyak membuang masa. Saya seru kepada mereka kalau hendak berpolitik biarlah dalam kancah perimeter sendiri, jangan melimpah keluar.

 

HULU SELANGOR: Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menempelak sikap ahli politik pembangkang yang memberi tekanan kepadanya berhubung siasatan video seks sejenis membabitkan Haziq Aziz dan seorang individu lagi.

Abdul Hamid berkata pertelingkahan pemimpin politik dan perebutan kuasa antara mereka tidak seharusnya membebankan polis dan masyarakat, memandangkan keutamaan polis adalah menjaga keselamatan rakyat.

“Tekanan diberikan semakin hari semakin meningkat. Saya lihat orang politik banyak membuang masa. Saya seru kepada mereka kalau hendak berpolitik biarlah dalam kancah perimeter sendiri, jangan melimpah keluar.

“Memang apa yang ahli politik lakukan sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan orang politik matang. Sudah setahun lebih pilihan raya umum, tidak habis lagi dengan perkara ini.

“Kalau hendak berpolitik, berpolitiklah dalam kalangan mereka,” katanya dalam sidang media, selepas hadir merasmikan perkhemahan kor kadet polis peringkat kebangsaan di Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Hamid turut melahirkan rasa terkilan apabila kudrat dan tenaga anggotanya digunakan untuk menyiasat video seks sejenis yang menurutnya adalah perkara remeh.

“Anak buah saya perlukan masa untuk kami beri tumpuan dalam soal integriti dan kualiti servis kepada orang ramai. Lepas itu, saya dibebankan dengan perkara remah yang mengaibkan.

“Ada yang memberi komen mempunyai latar belakang undang-undang, tetapi keluarkan kenyataan yang tidak setimpal dengan kelulusan. Saya terkilan banyak masa anak buah saya terbuang dengan perbuatan sia-sia,” katanya.

Hamid berkata, siasatan dalam mencari dalang video seks sejenis itu, yang didalangi pemimpin parti politik, masih diteruskan memandangkan proses siasatan tetap berjalan.

“Siasatan belum selesai lagi, ada banyak langkah yang hendak diambil. Duit begitu banyak dikeluarkan, orang perlu tahu. Proses ini berjalan lama dan mereka katakan polis tidak cekap. Mereka tidak faham,” katanya.

Kecewa anggota amal rasuah

Beliau juga kecewanya apabila 6 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat rasuah melibatkan pendatang tanpa izin.

“Saya sedih apabila seruan untuk anak buah saya sedar, kembali ke pangkal jalan tidak dapat sambutan keseluruhan, masih ada yang degil, tepu sangat dalam otaknya.

“Budaya memeras ugut, mengambil rasuah masih tepu dalam diri mereka. Inilah mereka yang ditangkap. Saya alu-alukan tindakan SPRM. Saya terima hakikat, masih ada segelintir yang degil,” katanya.- FMT

 
Comment