Ketua Wanita PKR, Haniza Talha berkata, tindakan itu selari dengan seruan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang mahu memperkukuhkan disiplin dan perpaduan parti ketika Temu Rapat Pimpinan PKR Pusat, Sabtu lalu.
Menurutnya, kenyataan terbuka Farhash Wafa sejurus dibebaskan daripada tahanan reman polis semalam amat bertentangan dengan prinsip berkenaan.
“Itu tuduhan secara terbuka di hadapan khalayak ramai dan media terhadap pemimpin nombor dua parti. Perbuatan itu patut diambil tindakan disiplin.
“Pemimpin seperti Farhash Wafa yang mengetuai sebuah negeri wajar menunjukkan kematangan dan bukannya melepaskan perasaan dan emosi apabila berdepan dengan tekanan,” katanya yang dipetik menerusi portal berita FreeMalaysiaToday hari ini.
Semalam Farhash Wafa dibebaskan kira-kira pukul 3.45 petang manakala bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dibebaskan kira-kira pukul 3.58 selepas menjalani tempoh reman selama tujuh hari bermula Rabu lalu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh, Dr. Afif Bahardin berkata, tindakan yang dibuat Farhash Wafa adalah tidak wajar sebaliknya menyerahkan kes tersebut kepada pihak berkuasa.
"Dia sedang disiasat polis, kita serah kepada polis. Kita yakin dan percaya dengan profesionalisme dan integriti polis untuk menyelesaikan perkara ini terutamanya merungkai dalang di sebalik pakatan jahat,” katanya.
Pada 12 Jun lalu, Haziq Abdullah menggemparkan negara apabila membuat pengakuan bersumpah dengan mengaitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi merupakan pasangannya dalam rakaman video seks sejenis di sebuah hotel di Sandakan, Sabah.
Mohamed Azmin bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu yang disifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya