PAUPM sahkan UPM Holdings disiasat SPRM serta bantah penamatan kontrak Syed Razlan
02:08 Aug 06, 2019  |  By SabahKini2
PAUPM sahkan UPM Holdings disiasat SPRM serta  bantah penamatan kontrak Syed Razlan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat serbuan mengejut ke atas syarikat UPM Holdings dan beberapa dokumen serta maklumat penting berkaitan kes telah diambil dari pejabat anak syarikat itu

SERDANG - Tindakan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik memendekkan pelantikan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (LPUPM), Dato’ Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail dipercayai dibuat berdasarkan nasihat yang salah.

[BACA ARTIKEL BERKAITAN- Terdesak jawatan NC UPM, tutup kes rasuah, Dr Saleh TKP dalang Pengerusi LPU UPM dipecat Menteri ]

Presiden Persatuan Alumni UPM (PAUPM), Datuk Raihan Sharif berpendapat, jawatan Pengerusi LPUPM itu adalah satu jawatan tinggi dan penting.

Menurutnya, sebarang penamatan jawatan ini perlulah melalui proses yang lebih bermaruah.

"Pemakluman pemendekan tempoh lantikan itu tidak mencerminkan teras falsafah kerajaan PH berlandaskan ketelusan dan 'Rule of Law'.

"Dengan memendekkan lantikan tersebut dalam tempoh 10 bulan sahaja tanpa sebarang alasan yang jelas dan tidak diberi peluang untuk berbincang, menggambarkan seolah-olah Pengerusi LPUPM telah melakukan kesalahan yang besar yang perlu ditamatkan segera," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Raihan berkata, difahamkan Bahagian Governan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui surat bertarikh 20 Jun 2019 telah mengarahkan Pengerusi LPUPM menjalankan siasatan ke atas salah laku tiga orang pegawai tinggi UPM.

Katanya, atas arahan tersebut, beliau telah mengambil inisiatif memulakan siasatan salah laku berkenaan.

"Di samping itu, ahli lembaga pengarah baharu anak syarikat UPM juga telah mengesan tahap governan yang begitu menyedihkan serta berkemungkinan salah laku dalam tadbir urus anak syarikat tersebut.

"Pihak berkenaan telah memohon kepada LPUPM supaya sebuah firma audit bertauliah dilantik untuk menjalankan audit forensik ke atas anak syarikat itu.

"Dalam masa yang sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdasarkan maklumat awam telah membuat serbuan mengejut ke atas syarikat UPM Holdings dan beberapa dokumen serta maklumat penting berkaitan kes telah diambil dari pejabat anak syarikat itu," katanya.

Syed Razlan telah menamatkan tempoh perkhidmatan sebagai Presiden PAUPM sejak 20 April 2019 dan bukan lagi presiden seperti yang dirujuk dalam surat menteri.

Beliau dilantik sebagai Ahli LPUPM pada 1 Oktober 2016, bagaimanapun tempoh perkhidmatan Syed Razlan dipendekkan ketika beliau sedang menyiasat dakwaan salah laku melibatkan pihak pengurusan tertinggi universiti.

Pemecatan Syed Razlan dimaklumkan kepada beliau melalui sepucuk surat bertarikh 17 Julai yang ditandatangani oleh Maszlee serentak dengan pelantikan Prof Tan Sri Ghauth Jasmon

 [ARTIKEL BERKAITAN- Terbukti Naib Canselor UPM, Dr Saleh dalang pemecatan Pengerusi LPU tutup kes rasuah UPM Holdings ]

 

1 Comment