Bekas MB bangga RM101 juta pelaburan kilang kondom 'Sagami' di Perak
21:08 Aug 14, 2019  |  By SabahKini2
Bekas MB bangga RM101 juta pelaburan kilang kondom 'Sagami' di Perak

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata penambahan kilang itu satu kejayaan Negeri Perak

Syarikat pengeluar kondom milik Jepun, Sagami Manufacturers Sdn Bhd (Sagami) akan menambah kilang pengeluaran baharu di Kawasan Perindustrian Bemban di Batu Gajah melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM101 juta menjelang April tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata penambahan kilang itu merupakan antara strategi syarikat tersebut bagi menampung permintaan tinggi terutamanya dari Jepun, China dan Eropah.

Katanya penambahan kilang berkenaan akan merancakkan sektor ekonomi di Perak seterusnya membuka kira-kira 600 peluang pekerjaan kepada anak tempatan di sekitar kawasan tersebut.

"Syarikat ini mula melabur di Perak sejak 1973, ia mengeksport produk mereka ke lebih 60 buah negara dan sering menerima permintaan tinggi kerana produk yang dihasilkan menerusi teknologi robotik adalah antara yang terbaik di pasaran.

"Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan memberi beberapa insentif kepada syarikat ini kerana menggunakan beberapa teknologi seperti pelaksanaan kecerdasan buatan (AI)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kilang berkenaan, di Batu Gajah, hari ini.

Mohammad Nizar berkata kondom yang dihasilkan menggunakan plastik poliuretana itu amat bersesuaian dengan mereka yang mempunyai alahan ke atas produk berasaskan getah.

Sementara itu, Pengarah Urusan Sagami, Hiroshi Hizawa berkata sehingga kini pihaknya mempunyai tiga kilang di Perak, satu di di Silibin dan dua di Batu Gajah.

Tahun lepas syarikat itu menyerahkan bayaran cukai kepada kerajaan negeri berjumlah kira-kira RM75.2 juta dan ia mempunyai modal berbayar sebanyak RM195 juta, katanya.

- Bernama

 

2 Comments