201,360 ekor setahun, Sabah bakal pengeluar babi dari Ladang Tongod
23:08 Aug 18, 2019  |  By SabahKini2
201,360 ekor setahun, Sabah bakal pengeluar babi dari Ladang Tongod

Akhirnya kerajaan warisan merealisasikan Sabah pengeluar babi moden. Tongod Farm Sdn Bhd (TFSB) secara rasminya boleh memasuki Kawasan Penternakan Babi (PFA) seluas 200 ekar di Tongod.

Kota Kinabalu: Ladang ternakan babi yang moden di Tongod boleh menjadi ladang contoh bagi Malaysia, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong 

Wong berkata demikian selepas menyerahkan satu surat untuk membolehkan Tongod Farm Sdn Bhd (TFSB) secara rasminya memasuki Kawasan Penternakan Babi (PFA) seluas 200 ekar di Tongod.

“Kini Tongod Farm dapat meneruskan rancangan perlu untuk menyediakan ladang babi moden dengan teknologi hijau sisa buangan sifar, sistem bio-keselamatan terbaik, dan pengeluaran daging terkawal berkualiti terbaik,” katanya.

TFSB merupakan penternak utama PFA untuk membangunkan kawasan itu dengan kos sifar kepada kerajaan.

Tanah seluas 200 ekar itu dipajakkan selama 50 tahun kepada TFSB pada kadar RM60,000 setahun.

“Pembangunan ini dijangka mewujudkan kira-kira 500 peluang pekerjaan dalam PFA dan industri sokongan lain seperti bekalan makanan, pengangkutan dan sebagainya.”

TFSB menggunapakai konsep penternakan babi moden – Sistem Rumah Tertutup, dengan sistem sisa buangan sifar.

Wong berkata, syarikat itu akan membina sebuah rumah penyembelihan, makmal, kilang makanan dan loji biogas menggunakan kos mereka sendiri. Kemudahan biogas itu akan menjana 30 peratus penggunaan elektrik ladang itu.

“Infrastruktur-infrastruktur ini adalah kemudahan yang dikongsi dengan penternak-penternak lain dalam PFA,” katanya.

Kumpulan sasaran projek PFA ini, katanya, adalah penternak tempatan sedia ada di Sabah yang akan diberi tempoh penangguhan selama lima tahun untuk mematuhi peraturan sedia ada atau ditutup dan berpindah ke PFA.

“Keselamatan-bio ketat PFA akan menghalang penyakit memasuki kawasan penternakan dan menghalang penularan sebarang penyakit keluar dari ladang.”

Beliau berkata kemudahan itu boleh menyokong kira-kira 9,600 ekor babi betina dengan penghasilan kira-kira 201,360 ekor babi untuk dijual, setahun.

“Saya percaya program PFA ini boleh mengurangkan daging babi import, meningkatkan tahap sara diri dan meningkatkan pendapatan penternak.

“Pemprosesan hiliran adalah satu lagi kemungkinan yang mesti diteroka,” katanya.

Ladang Tongod diwakili Pengarah Eksekutifnya, Vincent Tan. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Dr Mariana Tinggal dan Setiausaha Politik, Rakam Sijim serta Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, Dr Peter Lee.

2 Comments