Akhirnya Exco DAP Paul Yong didakwa di mahkamah kerana merogol amah Indonesia. Namun Paul Yong menolak nasihat MB Perak untuk bercuti
Exco Perak Paul Yong hari ini didakwa atas tuduhan merogol seorang warga Indonesia yang menjadi pembantu rumahnya.
Yong yang merupakan adun Tronoh dari DAP mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.
"Saya faham (pertuduhan yang dibacakan) tetapi saya tidak pernah melakukannya," kata Yong, setelah juru bahasa membacakan kertas pendakwaan.
Menurut kertas pertuduhan, Yong didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya pada 7 Julai, antara pukul 8.15 malam hingga 9.15 malam.
Mangsa membuat laporan polis berkenaan dakwaan dirogol keesokannya.
Kes tersebut didengar hakim mahkamah sesyen Norashima Khalid di Mahkamah Sesyen Ipoh.
Yong diwakili peguam Leong Cheok Keng yang juga adun Malim Nawar. Anggota Parlimen Jelutong RSN Rayer dan Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh juga sebahagian daripada pasukan pembelaan.
Pihak pendakwaan pula dianggotai timbalan pendakwa raya Azhar Mokhtar, Ainul Wardah Shahidan dan Naidatul Athirah Azman.
Timbalan Pendakwa Raya memohon Yong dikenakan ikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin, namun hakim menetapkan RM15,000 dengan seorang penjamin
Pengurusan kes ditetapkan pada 24 September ini.
Dua wakil dari Kedutaan Indonesia di Malaysia turut hadir.
Selepas membayar ikat jamin, Yong dilihat meninggalkan mahkamah pada pukul 11.40 pagi, ditemani isteri dan peguamnya.
Tidak ikut nasihat MB Perak
Sementara itu Paul Yong menolak saranan MB Perak supaya beliau bercuti.
“Bagi saya, saya masih belum dijatuhkan hukuman,” katanya ketika ditanya sama ada akan bercuti.
Beliau justeru berkata akan terus berkhidmat sebagai biasa dengan mengambil kira “mandat rakyat” kepadanya.
Paul Yong juga berkata boleh mengagak individu yang menurutnya bertanggungjawab di sebalik tuduhan merogol pembantu rumah Indonesia yang dihadapinya.
"Saya sebenarnya boleh (agak) suspek dan saya lebih kurang tahu siapa di belakang (tuduhan) ini.
"Saya tak ada bukti yang kukuh dan tak boleh bongkarkan di sini," katanya ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Ipoh pagi ini.
Dalam masa sama Bendahari DAP Perak itu juga menyatakan rasa tidak puas hati terhadap polis yang menyiasat kes berkenaan sebagai tidak profesional.
DAP cuba lengahkan kes
Dalam pada itu Peguam Paul Yong Ramkarpal Singh telah membuat permohonan kepada peguam negara (AG) untuk menggugurkan dakwaan terhadap exco Perak itu dengan mengambil kira satu dakwaan serius yang dibuat Speaker DUN Perak Ngeh Koo Ham berhubung laporan polis yang mendakwa individu yang membawa wanita itu untuk membuat laporan polis telah menerima RM100,000, dan telah diugut untuk tidak membocorkan perkara itu.
Pihak pendakwaan bagaimanapun tidak menerima permohonan Yong agar dakwaan terhadapnya ditangguhkan atas sebab telah diarahkan untuk meneruskannya.
Ramkarpal berkata, pihaknya tiada masalah untuk mempertahankan anak guam mereka kerana yakin dakwaan tersebut tidak berasas.
"Jelas bahawa dakwaan berkenaan pembayaran RM100,000 tidak disiasat langsung.