Penganjur India perhimpunan bantah Jawi ditahan
23:08 Aug 23, 2019  |  By SabahKini2
Penganjur India perhimpunan bantah Jawi ditahan

Dua individu yang ditahan itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk dirakamkan percakapan mereka,

KUALA LUMPUR - Polis menahan dua individu bagi dirakamkan percakapan mereka susulan perhimpunan Bantah Tulisan Khat Sekolah Tamil yang diadakan di Little India, Brickfields di sini hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe berkata, mereka yang ditahan merupakan penganjur perhimpunan tersebut serta seorang lagi individu yang akan dikenal pastikan identitinya kemudian. 

"Sekurang-kurangnya 500 individu telah hadir berhimpun hari ini dan mereka telah meminta kebenaran untuk berkumpul selama kira-kira 15 minit sebelum bersetuju untuk beredar. 

"Dua individu yang ditahan itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk dirakamkan percakapan mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini. 

Menurut Arifai, kawasan berkenaan berada di dalam keadaan terkawal dan para peserta juga pihak penganjur turut memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis. 

"Keadaan terkawal dan lalu lintas yang dilencongkan sebelum ini akan dibuka kembali kepada orang ramai sebaik semua peserta bersurai. 

"Dua individu berkenaan bagaimanapun ditahan kerana perhimpunan tersebut adalah tidak dibenarkan memandangkan tidak mendapat kebenaran pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," jelas beliau. 

Tambahnya, kedua-dua individu berkenaan ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012. 

Terdahulu, sekurang-kurangnya 500 individu berhimpun di hadapan pancuran air di Little India di sini bagi menyatakan bantahan pada perlaksanaan tulisan Jawi di sekolah-sekolah Tamil. 

Tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati para peserta mula berkumpul seawal pukul 6 petang dan ucapan oleh penganjur dimulakan kira-kira pukul 7 petang sebelum diarahkan bersurai oleh pihak polis. - K! ONLINE

1 Comment