Setinggan puluhan tahun akan diwarta sebagai kampung kata Ketua Menteri
10:09 Sep 01, 2019  |  By SabahKini2
Setinggan puluhan tahun akan diwarta sebagai kampung kata Ketua Menteri

Sejak Kerajaan Warisan memerintah sudah lebih 40 kebakaran berlaku di kawasan setinggan. Sama ada sengaja atau tidak, ia kekal misteri. Namun yang pasti setiap kali kebakaran setinggan dijanjikan bermacam janji.

TAWAU: Kerajaan akan mewartakan kampung setinggan puluhan tahun didiami penduduk sebagai perkampungan sah di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan akan menyusun semula penduduk terlibat termasuk kampung setinggan yang terbakar dan didiami semula.

“Kita akan pastikan susun atur pentadbiran supaya semua kawasan penempatan terlibat, kalau ada asasnya untuk diiktiraf, kita akan wartakan sebagai kampung.

“Kita akan meneliti kerana ada kawasan yang terlibat itu berstatus setinggan (bukan kampung), dan masalah ini sudah berlarutan berpuluh tahun,” katanya.

Shafie berkata demikian dalam ucapannya semasa mengadakan lawatan kerja melawat mangsa-mangsa kebakaran di Kg Tanjung Batu Keramat- Otentik, di sini, kelmarin yang terbakar baru-baru ini.

Menurutnya Kg Tanjung Batu Keramat-Otentik setinggan yang sudah lama diwujud sejak1970-an lagi dan beliau cuba menelitinya jika boleh diwartakan sebagai kampung.

“Saya sudah minta Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) sebagai ketua pentadbir daerah meneliti secara mendalam dan mencadangkan pendekatan jangka masa panjang.

“Kita mahu memastikan bukan hanya keselamatan penduduk terjamin, tetapi juga tempat tinggal mereka selesa diduduki dan kita tidak mahu rumah-rumah ini dibina rapat-rapat.

“Utamakan keselamatan, perlu ada pembersihan dan tapaknya disusun atur semula, kalau setiap individu hendak bina rumah sendiri, nanti jadi carcamarba.

“Oleh kerana penduduk kampung mahu membina semula, kita kena susun atur dan sebagai pentadbir, kita kena bimbing mereka susun atur hal yang boleh diuruskan.

Sejak Kerajaan Warisan memerintah sudah lebih 40 kebakaran berlaku di kawasan setinggan. Setiap kali kebakaran dijanjikan rumah baharu, tanah penempatan, pendaftaran JPN malah permohonan pewartaan setinggan sebagai kampung yang sah.

 

 Video- The Star Kg Tanjung Batu Keramat- Otentik Tawau terbakar

Comment