RM600 ribu jual MyKad kepada warga China, Pegawai JPN, 20 individu ditahan Polis
03:09 Sep 12, 2019  |  By SabahKini2
RM600 ribu jual MyKad kepada warga China, Pegawai JPN, 20 individu ditahan Polis

Kebimbangan rakyat sindiket penjualan MyKad kepada warga China sangat berasas apabila sindiket menjual MyKad RM100-RM600k ditumpaskan, 20 individu termasuk Pegawai JPN Pulau Pinang ditahan.

SELEPAS Ketua Pengarah JPN, Ruslin Jusoh melaporkan kepada polis kononnya aduan netizen mengenai pemberian MyKad kepada warganegara China adalah palsu dan fitnah memburuk-burukan JPN, keesokan harinya beberapa pegawai kerajaan berpangkat tinggi bermula dari Timbalan Pengarah dan pegawai JPN Pulau Pinang ditahan dalam operasi khas kerana terlibat dengan menjual MyKad kepada warga China lapor Harian Metro.

Kebimbangan rakyat yang ditularkan dalam media sosial nampaknya sangat berasas.

[ARTIKEL BERKAITAN- JPN sahkan warga China diberi MyKad, isteri kepada warganegara. Netizen tanya semudah itu? ]

[ARTIKEL BERKAITAN- Selepas mengaku beri MyKad kepada rakyat China, JPN lapor polis ‘aduan rakyat’ di laman sosial]

JPN sahkan warga China diberi MyKad, isteri kepada warganegara. Netizen tanya semudah itu?

Sindiket menjual MyKad terbabit terbongkar susulan laporan Jabatan Imigresen Pulau Pinang berhubung seorang wanita China berusia 25 hingga 30 tahun yang mahu membuat pasport Malaysia menggunakan MyKad sah.

Jabatan Imigresen meragui status kerakyatan wanita itu yang berdepan masalah berkomunikasi dengan pegawai bertugas.

“Dia gagal menjawab semua soalan yang diajukan dalam bahasa Melayu, sebaliknya hanya tersenyum sebaik soalan dikemukakan,” kata sumber dipetik Harian Metro.

20 Individu ditangkap, RM600 ribu bayaran membuat MyKad

Susulan penahanan wanita itu 20 individu termasuk kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang ditahan polis bagi membantu siasatan kes penjualan MyKad kepada warga asing.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, mereka berusia 32 hingga 70 tahun ditahan dalam operasi khas susulan penahanan beberapa suspek terdahulu.

Menurutnya, mereka terdiri 17 warga tempatan termasuk dua wanita, masing-masing satu lelaki dan wanita warga China serta seorang lelaki warga India ditahan bagi membantu siasatan.

“Mereka yang ditahan membabitkan ejen, orang tengah, penganjur, pemilik kad pengenalan, sijil lahir dan pasport Malaysia palsu.

“Polis turut merampas 38 telefon bimbit, dua CPU, komputer riba (6), pasport (34), kad pengenalan (11), pendrive (19), salinan sijil kelahiran (5), salinan kad pengenalan (6) dan salinan pasport (58).

“Tiga borang permohonan kad pengenalan, buku daftar pesuruhjaya sumpah (4), beberapa dokumen JPN, kereta (6) dan wang tunai RM38,340.21 turut dirampas untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, semua 20 individu berkenaan ditahan mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2010.

Katanya, siasatan terhadap pegawai dan kakitangan JPN dibuat mengikut Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) SOSMA 2012 dan direman selama 28 hari di bawah Seksyen 4(5) Akta SOSMA 2012.

Siasatan awal mendedahkan operasi mereka yang mana ejen sindiket akan mencari warga asing yang mahu mendapatkan taraf warganegara.

“Pegawai JPN terbabit kemudian menguruskan sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah.

“Ketika proses kemas kini data, pegawai terbabit akan mengarahkan kakitangan JPN untuk terbabit sama dan sindiket ini mampu memperoleh bayaran antara RM100,000 hingga RM600,000 bergantung kepada permintaan,” katanya.

Difahamkan, polis akan menahan beberapa lagi individu selepas hasil siasatan mendapati 6 MyKad dijual sindiket terbabit sehingga kini.

SPRM menunggu dan belum dapat laporan

Sementara itu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata setakat ini pihaknya belum menerima laporan beberapa individu termasuk Timbalan Pengarah JPN Pulau Pinang yang ditahan polis berikutan pembongkaran aktiviti penjualan MyKad kepada warga China di Pulau Pinang.

Latheefa masih menunggu

“SPRM belum terima aduan rasmi tapi jika ia adalah sindiket kita pasti akan mula siasat. Kes berkaitan menjual MyKad atau kad pengenalan bukan perkara baharu tetapi kita perlu tahu apa asasnya.

“Setakat ini kita hanya mengetahui perkara ini melalui media, namun kita tidak semestinya menunggu laporan rasmi. Kalau kita ada maklumat jelas kita akan bertindak tetapi setakat ini belum ada maklumat,” katanya

12 Comments