Lesen mesin slot dihentikan, pekerja kelab dibuang kerja merayu Ketua Menteri
11:09 Sep 12, 2019  |  By SabahKini2
Lesen mesin slot dihentikan, pekerja kelab dibuang kerja merayu Ketua Menteri

Premis mesin slot perjudian tidak lagi dibenarkan memperbaharui lesen itu. Susulan daripada itu ramai pekerja kelab atau pusat hiburan yang dibuang kerja merayu kepada Ketua Menteri. Dalam masa sama premis slot mesin haram masih tidak dibendung.

SANDAKAN - Selaras dengan arahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal Mei lalu di Sandakan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan meluluskan kasino mini dan mesin slot di Sabah hari ini tular notis makluman surat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu  dalam laman sosial bertarikh 19 Ogos 2019 mengenai pemberhentian itu.

“Adalah dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Sabah telah memutuskan bahawa pengeluaran lesen untuk mengendalikan aktiviti slot mesin diberhentikan.

“Jika mahu meneruskan pembaharuan lesen perniagaan boleh diperbaharui tetapi tidak ada lagi permainan judi mesin slot beroperasi”. kata kenyataan itu.

Pemberhentian ini menurut Dato’ Seri Shafie sebagai sesuatu yang wajar bagi membendung sikap tabiat tahi judi.

“Apabila seseorang mempunyai tabiat berjudi, ia boleh membawa kepada kesan bahaya seperti pengabaian keluarga dan berakhir dengan pinjaman along untuk memudahkannya bermain lagi judi.

Bagaimanapun Kerajaan Persekutuan masih mengeluarkan lesen untuk operasi yang seumpama tetapi melaksanakan kenaikan cukai bagi mesin slot dari RM10,000 ke RM50,000 setahun, manakala cukai untuk keuntungan daripada mesin slot dinaikkan ke 30 peratus daripada 20 peratus.

Sementara itu Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong berkata keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuklah pendapat orang awam.

“Oleh itu, Kabinet negeri putuskan agar tidak membenarkan lagi mesin slot beroperasi dalam premis perniagaan di setiap kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri pada penghujung tahun 2019.

“Keputusan ini adalah muktamad dan surat pekeliling sudah dikeluarkan kepada semua PBT terutama dikawasan wujudnya mesin slot berkenaan beroperasi. Kita sudah menjelaskan hal ini dan kerajaan negeri juga sudah mengumumkannya,” katanya.

“Ia demi kebaikan masyarakat kerana menerusi ketagihan perjudian seumpama ini boleh memudaratkan hubungan suami isteri sehingga berlaku perceraian, hilang fokus kerja dan ada pihak mengalami harta mereka dirampas berikutan berhutang semata-mata untuk memenuhi ketagihan perjudian ini.

Kelab Venition buang pekerja

Sementara itu dalam satu tangkap layar facebook Buletin Penampang mendedahkan beberapa pusat hiburan seperti Kelab Venition telah mula membuang pekerjanya susulan keputusan kerajaan itu. Setakat ini sudah 1000 likes, lebih 800 komen netizen dan 600 perkongsian yang majoritinya simpati terhadap pembuangan pekerja. 

Para pekerja membuat kain rentang merayu kepada Ketua Menteri terhadap nasib mereka.

Terdapat netizen mempersoalkan premis mesin slot haram atau siber cafe masih berleluasa di Negeri Sabah tetapi tidak dibendung tetapi slot mesin yang sah ditamatkan.

 

Seorang pengguna facebook Chechez Wesley Steady menulis merayu kepada Ketua Menteri Sabah agar membantu pekerja yang senasib dengan mereka

“Mohon jasa baik DATUK SERI PANGLIMA HAJI MOHD SHAFIE BIN HAJI APDAL agar dapat mempertimbangkan semula penutupan semua club kerana ianya melibatkan ribuan periuk nasi para pekerja akan terjejas. Lihat la dengan hati nurani DATUK, bagaimana dengan kehidupan kami nanti yang bakal kehilangan pekerjaan. Bagai mana dengan nasib anak-anak kami yang masih bersekolah?yang masih perlukan belanja?bil air, elektrik, rumah, kereta, pinjaman dan sebagainya

Bukan senang mahu cari kerja.. apatah lagi bagi kami yang sudah bekerja berpuluh tahun dalam bidang ini. Sekali lagi kami mohon agar DATUK dapat membantu kami menyelesaikan masalah ini dengan sebaiknya dan bukan menyusahkan kami para pekerja selaku rakyat yang menyokong DATUK selama ini”. katanya

18 Comments