Yamani Hafez anak Musa Aman kini Ahli BERSATU
15:09 Sep 18, 2019  |  By SabahKini2
Yamani Hafez anak Musa Aman kini Ahli BERSATU

Akhirnya Yamani Hafez Musa, anak sulung kepada bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman kini menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)

KOTA KINABALU: Yamani Hafez Musa, anak sulung kepada bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman kini menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) selepas beberapa bulan tiada kepastian berkaitan statusnya.

Ahli Parlimen Sipitang itu menerima kad keahlian BERSATU daripada Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Perdana Menteri pada majlis jamuan makan tengah hari BERSATU Sabah bersama Dr Mahathir, di sini, hari ini.

Majlis jamuan itu turut dihadiri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali; Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya; Ketua Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor dan Timbalan Ketua Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Sementara itu, Setiausaha BERSATU Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan perkara itu.

“Pada hari ini, beliau (Yamani) diterima secara sah sebagai ahli BERSATU. Jadi, Yamani kini bukan lagi Ahli Parlimen BEBAS,” katanya.

Yamani adalah antara lima Ahli Parlimen dan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah yang keluar UMNO pada akhir tahun lalu dan menyerahkan borang permohonan menyertai BERSATU pada Februari lalu.

Bagaimanapun, empat daripada lima Ahli Parlimen itu termasuk Ronald; Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort) dan Datuk Zakaria Edris (Libaran), diterima menjadi ahli BERSATU.

Yamani bagaimanapun tidak segera diterima sebagai ahli parti itu apabila BERSATU melebarkan sayapnya di Sabah pada 6 April lalu.

Sehubungan itu, dengan penyertaan Yamani, BERSATU Sabah kini mempunyai lima Ahli Parlimen dan sembilan ADUN.

Berita Harian

1 Comment