Timbalan Menteri JPM meninggal dunia, satu lagi PRK
02:09 Sep 21, 2019  |  By SabahKini2
Timbalan Menteri JPM meninggal dunia, satu lagi PRK

Md Farid yang juga Naib Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanjung Piai, memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng BN (MCA) dengan majoriti hanya 524 undi

JOHOR BAHRU: Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik, yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai meninggal dunia di Hospital Pontian kira-kira jam 6 pagi tadi dipercayai akibat serangan jantung.

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal menerima berita kematian Allahyarham.

“Mengenai berita Ahli Parlimen Tanjung Piai, saya sudah dimaklumkan pagi tadi dan akan melawat jenazah dari Muar terus ke Pontian pada jam 9 pagi nanti,” katanya.

Berita mengenai pemergian Allahyarham turut dimuat naik beberapa pemilik akaun di laman Facebook sejak jam 8 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham dijangka akan dibawa pulang ke rumah ibunya di Serkat, Pontian untuk dikebumikan.

Md Farid yang juga Naib Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanjung Piai, memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tahun lalu selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng dengan memperolehi 21,255 undi majoriti hanya 524 undi

Beliau adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang diamanahkan untuk menjaga portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial.

Nampaknya satu lagi kerusi kosong dan Pilihanraya kecil bakal diadakan bagi memilih wakil rakyat baharu.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai 52.11 peratus adalah majoriti Melayu, Cina 46.5 peratus dan India 1.07 peratus.

Jika mengambil sentimen Dun Semenyih, kerusi Parti Pribumi Bersatu di kawasan ini bakal berhadapan masalah besar terutama sentimen di kawasan FELDA juga penggabungan UMNO dengan PAS.

 

 

1 Comment