Sukar jadi pembangkang ADUN PBS Labuk lompat parti ke Warisan
06:09 Sep 28, 2019  |  By SabahKini2
Sukar jadi pembangkang ADUN PBS Labuk lompat parti ke Warisan

Kerana mahu terus hidup Adun Labuk Parti Bersatu Sabah (PBS) Abdul Rahman Kongkawang mengambil keputusan lompat parti ke Warisan.

KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) Abdul Rahman Kongkawang hari ini mengumumkan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Abdul Rahman yang juga Naib Presiden PBS menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Warisan merangkap Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini.

Abdul Rahman adalah ADUN kedua menyertai Warisan selepas ADUN Tandek Datuk Anita Baranting pada 6 Mac lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, beliau yang sebelum itu merupakan Pegawai Pembangunan Masyarakat Dewan Undangan Negeri Labuk pertama kali bertanding mewakili PBS menggantikan penyandang kerusi itu Datuk Michael Asang.

Beliau menang dengan majoriti 2,600 undi selepas menewaskan calon lain iaitu Ramsah Tasim daripada Warisan, Rainus Awang (Parti Soladariti Tanah Airku) dan James Miki (Parti Cinta Sabah). 

Abdul Rahman berkata, sebagai pembangkang, sukar untuk beliau menunaikan tanggungjawab membangunkan DUN Labuk, maka selepas berfikir panjang dan mendapatkan pandangan pelbagai pihak hari ini keputusan dibuat untuk menyertai Warisan secara rasmi.

Sementara itu Mohd Shafie berkata beliau mengalu-alukan penyertaan Abdul Rahman serta beberapa AJK PBS dan ahli Umno Labuk ke dalam Warisan.

“Beliau sebenarnya telah menyatakan hasrat itu kepada saya semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan lagi dan kita gembira ia dapat direalisasikan hari ini.

“Kita sebenarnya tapis dahulu sebelum menerima kemasukan mana-mana pihak ke dalam Warisan termasuk melihat mana yang kita rasa punyai pengalaman dan keupayaan tapi saya yakin saudara Abdul Rahman ini diterima rakyat di kawasan itu,” katanya dalam sidang media di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah.

Mohd Shafie menambah keputusan yang dibuat itu adalah untuk kepentingan Sabah bukan hanya Warisan semata-mata.

Penyertaan terbaharu Adun Labuk itu menjadikan Warisan kini mempunyai 32 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah.

Sementara itu Presiden PBS Datuk Dr Maximus Ongkili menyelar sikap Warisan yang mencuri Adunnya dengan menawarkan pelbagai janji manis sejak beberapa bulan lalu.

6 Comments