Di Festival Kuih Bulan Shafie Apdal umum iktiraf UEC
22:09 Sep 28, 2019  |  By SabahKini2
Di Festival Kuih Bulan Shafie Apdal umum iktiraf UEC

Kerajaan negeri telah mengiktiraf UEC di Sabah. Kita telah buat keputusan mengiktiraf sijil ini.

SABAH mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat diterima masuk ke institusi pengajian tinggi awam dan bekerja di sektor perkhidmatan awam negeri, umum Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal, malam ini.

Beliau membuat pengumuman itu ketika Kementerian Pendidikan masih menunggu laporan rasmi daripada Petugas Dasar UEC, yang kemudian diangkat untuk kelulusan Jemaah Menteri tidak lama lagi.

Pengumuman Shafie malam ini menjadikan Sabah negeri kelima mengiktiraf UEC selepas Sarawak, Selangor, Pulau Pinang dan Melaka.

“Kerajaan negeri telah mengiktiraf UEC di Sabah. Kita telah buat keputusan mengiktiraf sijil ini.

“Cuma kena ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan untuk kita kira bukan hanya masuk universiti tetapi masuk perkhidmatan awam negeri Sabah,” kata Shafie, seperti dipetik Borneo Post, malam ini.

Shafie membuat pengumuman itu pada majlis sambutan Festival Kuih Bulan di Kota Kinabalu.

Pengumuman Shafie malam ini menyusul keyakinan timbalannya Christina Liew semalam bahawa Putrajaya juga akan mengiktiraf UEC untuk semua 62 buah sekolah persendirian di seluruh Malaysia, selepas Sabah berbuat demikian.

Pengiktirafan UEC di Sabah ini akan memberi manfaat kepada sembilan sekolah persendirian Mandarin di negeri itu dengan keseluruhan pelajar seramai 1,736 orang, lapor Borneo Post.

UEC ialah sijil yang dikeluarkan di bawah sistem sekolah menengah persendirian aliran Cina dan tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan.

Aktivis dan nasionalis Melayu sejak sekian lama menolak pengiktirafan ke atas UEC kerana melihatnya hambatan kepada perpaduan kaum dan ancaman ke atas kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Borneo Post juga melaporkan UEC sebelum ini diiktiraf oleh Jabatan Pendidikan Sabah dengan beberapa syarat tertentu – digandingkan dengan syarat asas kemasukan ke IPTA seperti kepujian Bahasa Melayu serta lulus Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Malaysia University English Test (MUET).

Sarawak dan Pulau Pinang mengiktiraf UEC pada 2015, sementara Selangor pada 2017 manakala Melaka pada Julai tahun lalu.

Pakatan Harapan sebelum ini beberapa kali menegaskan tidak akan mungkir janji untuk mengiktiraf UEC, seperti yang terkandung dalam manifesto parti itu dalam dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Pada Ogos 2018, Jemaah Menteri mengarahkan sebuah pasukan petugas dibentuk di bawah Kementerian Pendidikan dengan mandat mengumpulkan maklumat dan mengemukakan syor kepada kerajaan berhubung isu pengiktirafan UEC.

Pasukan itu dianggotai aktivis budaya dan bekas wartawan Eddin Khoo serta Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Mohamad Raimi Ab Rahim dan Timbalan Presiden Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Yan Yew Sing. – TMI

 

18 Comments