Bukan 200,000 sejak Mei 2018 tapi hanya 4,422 diluluskan warganegara Malaysia
18:09 Sep 28, 2019  |  By SabahKini2
Bukan 200,000 sejak Mei 2018 tapi hanya 4,422 diluluskan warganegara Malaysia

KDN nafi 200 ribu namun mengaku tempoh Mei 2018 sehingga 15 September 2019 sebanyak 19,788 permohonan taraf kewarganegaraan telah diterima hanya 4,422 sahaja yang telah diluluskan kewarganegaraan Malaysia

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan yang tular di media sosial bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah memberikan kewarganegaraan baru kepada  200,000 penerima.

"Untuk makluman bagi tempoh Mei 2018 sehingga 15 September 2019 sebanyak 19,788 permohonan taraf kewarganegaraan telah diterima oleh JPN dari pelbagai kaum dan bangsa dan dari jumlah tersebut hanya 4,422 sahaja yang telah diluluskan kewarganegaraan Malaysia," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, tular dalam laman sosial tangkap layar tulisan sebuah blog yang mendakwa seramai 200,000 penerima kewarganegaraan baru berikrar sedia untuk 'membalas budi' kerajaan PH.

Tulisan itu juga mendakwa sijil kewarganegaraan tersebut telah pun diproses sebelum pemberian kewarganegaraan diumumkan Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin pada Julai lalu.

KDN bagaimanapun menegaskan hanya mereka yang memenuhi syarat-yang ditetapkan dan mengemukakan dokumen yang lengkap sahaja layak untuk memohon taraf kewarganegaraan.

"Pemberian taraf kewarganegaraan adalah tertakluk kepada peruntukan di bawah perlembagaan persekutuan dan merupakan penganugerahan tertinggi oleh kerajaan Malaysia dan tidak diberikan sewenang-wenangnya.

"Orang ramai digesa untuk menghentikan penyebaran maklumat yang tidak benar bagi mengelakkan kekeliruan dan kebimbangan awam,' jelasnya.

 

Comment