Pertahan hak Sabah, Lim Guan Eng gagal tunai janji kata Anifah
14:09 Sep 30, 2019  |  By SabahKini2
Pertahan hak Sabah, Lim Guan Eng gagal tunai janji kata Anifah

Sabah amat memahami dan sentiasa bertolak ansur dalam beberapa perkara namun kepentingan serta hak negeri itu perlu dipertahankan.

KOTA KINABALU: Bekas Menteri Luar, Datuk Anifah Aman mengingatkan rakyat Sabah perlu terus bersatu padu dan mengenepikan perbezaan ideologi politik serta kaum ke arah mencari titik penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi ketika ini.

Sabah amat memahami dan sentiasa bertolak ansur dalam beberapa perkara namun kepentingan serta hak negeri itu perlu dipertahankan.

“Untuk menyelesaikan isu-isu yang timbul di Sabah ketika ini kita harus melakukannya bersama seperti yang saya katakan kita menyokong Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan usaha kerajaan negeri menyelesaikan isu pendatang tanpa izin (PTI).

“Kebimbangan rakyat Sabah khususnya berkaitan isu PTI wajar diambil serius oleh kerajaan kerana kita khuatir dan tidak mahu anak-anak tempatan kita menjadi pendatang di negeri sendiri,” katanya kepada pemberita dalam Program Bicara Perpaduan Demi Kepentingan Rakyat Sabah di Ming Garden Hotel & Residences, Kota Kinabalu, di sini.

Ditanya berhubung isu royalti minyak, Anifah berkata kerajaan Persekutuan digesa sekurang-kurangnya membayar 10 peratus kepada negeri ini berbanding hanya lima peratus.

Dalam pada itu Anifah berkata sebelum pilihan raya umum lalu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjanjikan pelbagai perkara kepada rakyat.

Bagaimanapun beliau kecewa kerana setelah menjadi kerajaan Guan Eng gagal menunaikan janji dan mendakwa negara tidak mempunyai wang.

“Rakyat bimbang tentang keadaan yang kita hadapi sekarang .. dan itu boleh mengubah landskap politik Sabah.

“Sehubungan itu menerusi perbincangan umum seperti ini kita berharap ia mampu memberi pemahaman kepada rakyat bahawa jika kita bersatu padu Sabah akan menjadi negeri yang lebih baik dan stabil,” katanya. 

 

 

7 Comments