Kerajaan negeri guna Menteri JPM rayu keputusan mahkamah pengarah Jabatan Air Sabah 'tidak sah'
09:10 Oct 15, 2019  |  By SabahKini2
Kerajaan negeri guna Menteri JPM rayu keputusan mahkamah pengarah Jabatan Air Sabah 'tidak sah'

Dalam erti kata lain, pegawai dalam Seksyen 3 tidak termasuk pengarah JANS kerana beliau merupakan ‘Pihak Berkuasa Air kata Liew

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong berkata kerajaan negeri memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu baru-baru ini yang mengisytiharkan pelantikan Amarjit Singh sebagai pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) pada tahun lalu tidak sah.

Walaupun menghormati keputusan mahkamah, katanya, proses rayuan perlu dibenarkan supaya perkara itu boleh diselesaikan secepat mungkin.

Pada 9 Okt lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Ravinthran Paramaguru mengisytiharkan pelantikan Amarjit bertentangan Seksyen 3 Enakmen Bekalan Air Sabah 2003 yang menyatakan hanya penjawat awam boleh dilantik ke jawatan kanan JANS.

Tetapi, Liew berkata, Seksyen 3(2) Enakmen Bekalan Air Sabah mungkin tidak terpakai ke atas Amarjit.

“Dengan mengguna pakai pendekatan interpretasi statut secara literal, pengarah tidak boleh disamakan dengan ‘pegawai’ sebagaimana dinyatakan dalam Seksyen 3(2) enakmen tersebut.

“Seksyen 3(2) tidak boleh dibaca secara berasingan tanpa mengambil kira Seksyen 3(2) dan Seksyen 2 yang mentakrifkan ‘Pihak Berkuasa Air’,” katanya di lobi Parlime hari ini sambil menambah Seksyen 2 mentakrifkan “Pihak Berkuasa Air” ialah pengarah JANS, bukannya pegawai seperti dalam Seksyen 3(2).

“Dalam erti kata lain, pegawai dalam Seksyen 3 tidak termasuk pengarah JANS kerana beliau merupakan ‘Pihak Berkuasa Air’.”

Kes itu difailkan bekas ketua menteri Sabah, Yong Teck Lee yang juga presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) dan ahli perniagaan dari Tawau, Pang Thou Chung pada 19 Mac lalu.

Mereka mendakwa pelantikan Amarjit pada Ogos 2018 melanggar undang-undang kerana beliau bukannya penjawat awam, tetapi disebabkan jawatannya sebagai setiausaha Warisan Bahagian Putatan yang juga parti pemerintah di Sabah.- FMT

4 Comments