538 projek pengilangan RM34.7B sejak 2000-2018, Darell Leiking mengesahkan kejayaan BN
06:10 Oct 23, 2019  |  By SabahKini2
538 projek pengilangan RM34.7B sejak 2000-2018, Darell Leiking mengesahkan kejayaan BN

Usaha Darell Leiking selaku Menteri MITI sejak Januari hingga Jun 2019 hanya empat projek pengilangan bernilai RM675.1 juta

KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ignatius Darell Leiking berbangga mengumumkan kerajaan terdahulu sejak tahun 2000 hingga 2018 membawa 538 projek pengilangan yang telah diluluskan di Sabah dengan nilai modal sebanyak RM34.7 bilion.

Beliau berkata sepanjang tempoh berkenaan sebanyak 41,494 peluang pekerjaan telah diwujudkan khususnya kepada rakyat Sabah.

“Pada tahun 2018 sahaja sebanyak 13 projek pengilangan diluluskan di Sabah dengan jumlah pelaburan sebanyak RM227.3 juta.

Untuk tahun ini iaitu sejak Januari hingga Jun sebanyak empat projek pengilangan telah diluluskan di Sabah dengan pelaburan bernilai RM675.1 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang diedarkan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bersama Kerajaan Negeri Sabah, di sini Isnin lalu.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah.

Mengulas mengenai mesyuarat JBI itu, Darell berkata ia bertujuan membincangkan kertas pembentangan daripada kerajaan negeri Sabah untuk menyelesaikan isu dan masalah yang timbul dalam pembangunan industri di Sabah.

“Antara isu yang dibincangkan adalah usaha membaiki sistem kemudahan tenaga elektrik dan internet di Sabah, selain daripada usaha sama kerajaan negeri dan persekutuan untuk memudah cara operasi berkaitan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) di negeri ini.

Untuk rekod Datuk Ignatius Darell Leiking mengangkat sumpah sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 2 Julai 2018 iaitu sebulan selepas kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU ke 14.

Manakalah Shafie Apdal mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah pada 12 Mei 2018 selepas pemimpin BN melompat parti. Hanya pada 7 November 2018 iaitu 7 bulan selepas itu Mahkamah Tinggi menolak kes pemula difailkan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman bagi mendapat pengisytiharan bahawa Shafie Apdal Ketua Menteri yang sah.

Dalam tempoh 7 bulan pemerintahan Warisan tahun 2018 tidak banyak yang mereka boleh lakukan sebelum pengisytiharan Shafie Apdal sah Ketua Menteri itu.

Oleh itu pengumuman Darell Leiking dari 2000 hingga 2018 nilai modal sebanyak RM34.7 bilion lebih kepada mengiktiraf kejayaan Barisan Nasional sebelum ini.

Bagaimanapun usaha Darell Leiking sejak Januari hingga Jun 2019 dengan empat projek pengilangan telah diluluskan di Sabah dengan pelaburan bernilai RM675.1 juta wajar diucapkan terima kasih.

 

 

1 Comment