Kes SRC: Najib diperintah bela diri
11:11 Nov 11, 2019  |  By SabahKini2
Kes SRC: Najib diperintah bela diri

Seminggu sebelum pembuangan undi PRK Tanjung Piai 16 November ini seperti dijangka Najib diarah membela diri atas tujuh tuduhan SRC.

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, diarah membela diri atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud ‘prima facie’ bagi kes berkenaan.

Najib didakwa pada 4 Julai tahun lalu atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos 2018 pula, beliau dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan dari dana sama.

Pendakwaan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi.

Menurut Mohd Nazlan, Najib mempunyai kepentingan dalam SRC dan mempunyai kawalan keseluruhan menyebabkan RM42 juta didepositikan ke dalam akaunnya bagi kepuasan tertuduh.

“Ia adalah bagi tertuduh (Datuk Seri Najib Razak) untuk menangkis bukti dan saya mendapati bahawa elemen menggunakan kedudukan berjaya dibuktikan oleh pendakwaan. Sehubungan itu prima facie berjaya dibuktikan,” katanya.

Beliau berkata, mahkamah mendapati pindahan wang daripada akaun SRC ke dalam akaun bekas Presiden UMNO itu telah menyebabkan SRC mengalami kerugian.

“Walaupun mengetahui terdapat wang yang dimasukkan ke dalam akaunnya, tertuduh (Najib) tidak mengarahkan supaya laporan polis dibuat.

“Mahkamah mendapati tertuduh tidak melakukan apa-apa tindakan untuk menentukan wang yang masuk ke dalam akaunnya adalah daripada aktiviti pengubahan wang haram,” katanya.

Terdahulu pihak pendakwaan selesai menggulung penghujahan pada 27 Ogos lalu selepas Najib mula dibicarakan 3 April.

Seramai 57 saksi dipanggil memberi kenyataan, termasuk bekas Pengurus Perhubungan Awam AmBank Bhd, Joanna Yu, serta bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Mohd Nazlan menetapkan 3, 4, 9 hingga 12 dan 16 hingga 19 Disember ini untuk Najib dibicarakan.

Sementara itu, Najib memilih untuk membela diri terhadap semua tujuh tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram menerusi keterangan bersumpah.

Comment