(VIDEO) Lelaki Filipina pemegang kad MyPR diberkas ragut beg wanita
05:11 Nov 15, 2019  |  By SabahKini2
(VIDEO) Lelaki Filipina pemegang kad MyPR diberkas ragut beg wanita

Lelaki 23 tahun pemegang pemastautin tetap berbangsa Filipina ditahan orang ramai di kompleks beli-belah berkenaan selepas terdengar jeritan wanita terbabit meminta tolong.

KOTA KINABU: Tindakan berani seorang wanita mengejar lelaki yang meragut beg tangannya berhasil apabila suspek ditangkap di kawasan pusat beli belah di Suria Sabah.

Dalam kejadian pukul 12 tengah malam itu, suspek lelaki berusia 23 tahun pemegang pemastautin tetap berbangsa Filipina ditahan orang ramai di kompleks beli-belah berkenaan selepas terdengar jeritan wanita terbabit meminta tolong.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata ketika kejadian mangsa wanita berusia 26 tahun bersama seorang lagi rakannya sedang minum di sebuah restoran di Jalan Gaya, di sini.

“Seorang lelaki yang berjalan lalu ditepi mangsa sebelum menarik beg tangan mangsa dan terus melarikan diri. Mangsa dan rakannya kemudian mengejar suspek yang melarikan diri ke arah pusat beli belah Suria Sabah.

“Mangsa kemudiannya menjerit meminta pertolongan kepada orang awam yang kebetulan berada di kawasan berkenaan sebelum suspek berjaya ditahan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Habibi berkata suspek kemudian dihantar ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu oleh orang awam yang berjaya menangkapnya.

“Dalam kejadian itu mangsa turut mengalami kecederaan calar dilutut dan paha kiri akibat terjatuh ketika cuba mengejar suspek.

“Mangsa sudah dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan doktor,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan Keseksaan kerana merompak dengan cara meragut. – SNT

4 Comments