Syarikat tembakau BAT Malaysia fail permohonan cabar Kementerian Kesihatan
06:11 Nov 15, 2019  |  By SabahKini2
Syarikat tembakau BAT Malaysia fail permohonan cabar Kementerian Kesihatan

BAT Malaysia menerusi anak syarikatnya, Commercial Marketers and Distributors Sdn Bhd (CMD) menyemak keputusan KKM mengkategorikan DUNHILL HTL-cigarillo sebagai produk rokok.

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat tembakau memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) yang membatalkan kelulusan ke atas produk DUNHILL HTL-cigarillo.

Permohonan British American Tobacco (Malaysia) Berhad (BAT Malaysia) menerusi anak syarikatnya, Commercial Marketers and Distributors Sdn Bhd (CMD) itu, juga bagi menyemak keputusan KKM yang mengkategorikan DUNHILL HTL-cigarillo sebagai produk rokok.

Pengarah Urusan BAT Malaysia, Erik Stoel, mendakwa keputusan KKM secara sebelah pihak untuk menarik semula kelulusan tanpa rundingan itu, adalah tidak munasabah bagi sebuah perniagaan yang sah, khususnya bagi syarikat yang disenarai awam seperti BAT Malaysia.

“Produk ini diluluskan sebagai ‘produk bukan rokok’ bukan sahaja oleh KKM setahun lalu untuk dijual, tetapi ia juga diluluskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Keputusan Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Awam) KKM membatalkan kelulusan ke atas DUNHILL HTL-Cigarillo tanpa sebarang notis, dilihat sebagai satu pusingan ‘U’.

“Dakwaan KKM bahawa DUNHILL HTL-Cigarillo adalah rokok, menyerlahkan cabaran yang dihadapi syarikat tembakau sah untuk beroperasi di negara ini, disebabkan ketidaktentuan dan halangan demi halangan yang menimpa industri ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Stoel turut menyelar serbuan KKM terhadap 100 peruncit di Sabah dan Sarawak yang dilakukan beberapa minggu sebelum surat pembatalan produk itu dikeluarkan, sekali gus tidak memberi peluang kepada BAT Malaysia mengeluarkan produk berkenaan daripada pasaran dalam tempoh sebulan, seperti yang disyaratkan.

Beliau turut menyifatkan tindakan itu sebagai berat sebelah kerana produk ‘cigarillo’ lain tidak pula dikenakan sebarang tindakan penguatkuasaan.

“Hanya DUNHILL HTL-Cigarillos yang menjadi fokus serbuan. Ini jelas menunjukkan bagaimana KKM tidak konsisten dalam melaksanakan dasar mereka,” katanya.- BH

Comment