Sabah bentang belanjawan RM4.143 bilion untuk 2020
03:11 Nov 16, 2019  |  By SabahKini2
Sabah bentang belanjawan RM4.143 bilion untuk 2020

Mohd Shafie mengumumkan bantuan khas sebanyak RM500 kepada penjawat awam negeri yang akan dibayar secara sekali gus dengan gaji Januari tahun depan iaitu jumlah lebih rendah berbanding negeri jiran Sarawak dua bulan bonus atau minimum RM2000.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah membentangkan Belanjawan 2020 berjumlah RM4.143 bilion dengan mencatat lebihan RM48.55 juta berbanding anggaran kutipan hasil sebanyak RM4.192 bilion pada tahun depan.

Belanjawan kedua kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (WARISAN) sejak mengambil alih pentadbiran negeri tahun lalu itu bagaimanapun menunjukkan penurunan sebanyak RM15.81 juta atau 0.38 peratus berbanding anggaran asal RM4.16 bilion dengan lebihan sebanyak RM105.32 juta pada tahun ini.

Membentangkan Belanjawan Sabah 2020 di di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata anggaran kutipan hasil tahun depan turun RM72.6 juta atau 1.71 peratus berbanding RM4.265 bilion anggaran asal tahun ini.

Hasil bukan cukai sebanyak RM2.697 bilion kekal penyumbang tertinggi dengan 64.34 peratus anggaran hasil pada tahun depan, diikuti hasil cukai sebanyak RM1.031 bilion (24.61 peratus) dan terimaan bukan hasil berjumlah RM463.3 juta (11.05 peratus).

“Royalti petroleum dijangka kekal sebagai penyumbang tertinggi hasil negeri pada tahun depan dengan anggaran sebanyak RM1.7 bilion atau 40.55 peratus kepada keseluruhan anggaran hasil negeri tahun depan.

“Anggaran ini adalah berdasarkan bayaran yang diterima daripada PETRONAS bagi 2019 sebanyak RM1.703 bilion. Jumlah royalti yang diterima ini adalah yang tertinggi dalam sejarah Sabah setakat ini,” katanya.

Cukai jualan minyak sawit mentah (CPO) juga kekal sebagai penyumbang kedua tertinggi hasil negeri dengan sumbangan RM825 juta atau 19.68 peratus kepada keseluruhan hasil negeri pada tahun depan berdasarkan harga CPO yang dijangka mencecah RM2,200 setan metrik.

Belanjawan tahun depan yang bertemakan `Merancakkan Pembangunan Untuk Kesejahteraan Rakyat’ itu sejajar dengan aspirasi dan komitmen kerajaan dalam melonjak dan mempercepatkan lagi kadar pembangunan negeri demi kesejahteraan hidup rakyat.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan negeri, menggariskan lima strategi dan bidang yang akan diberikan tumpuan pada tahun depan masing-masing berkaitan penyampaian kerajaan, taraf hidup rakyat, pertumbuhan ekonomi, pembangunan modal insan dan pembangunan pemboleh daya seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Berikutan penurunan belanjawan tahun depan, perbelanjaan emolumen menurun kepada RM739.59 juta berbanding RM742.14 juta tahun ini.

Bagaimanapun, perbelanjaan berulang menunjukkan peningkatan kepada RM1.495 bilion tahun depan berbanding RM1.371 bilion tahun ini, manakala perbelanjaan khas menurun kepada RM1.908 bilion tahun depan berbanding sebanyak RM2.045 bilion tahun ini.

Bagi perbelanjaan pembangunan, sebanyak RM960.91 juta diperuntukkan tahun depan berbanding RM934.68 juta tahun ini membabitkan RM735.64 juta daripada kerajaan negeri, manakala RM225.27 juta daripada kerajaan Pusat.

Sementara itu, Mohd Shafie mengumumkan bantuan khas sebanyak RM500 kepada penjawat awam negeri yang akan dibayar secara sekali gus dengan gaji Januari tahun depan jumlah lebih rendah berbanding negeri jiran Sarawak dua bulan bonus atau minimum RM2000.

Comment