KDN buat simulasi PSS warga asing bulan depan kata Timbalan Menteri
07:11 Nov 26, 2019  |  By SabahKini2
KDN buat simulasi PSS warga asing bulan depan kata Timbalan Menteri

Pengeluaran PSS bermula 1 Jun 2020 itu adalah bagi menggantikan tiga jenis dokumen dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung.

KOTA KINABALU- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan satu simulasi mengenai proses pelaksanaan pemberian Pas Sementara Sabah (PSS) untuk warga asing yang sudah lama menetap di negeri itu pada awal bulan depan.

Timbalan Menterinya, Datuk Azis Jamman, berkata simulasi dua hari itu yang akan dikelolakan oleh Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-Teknikal) adalah bertujuan melihat perjalanan proses pelaksanaan pemberian PSS bermula daripada peringkat awal hingga akhir.

Katanya, sesi penerangan kepada pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Sabah serta rakyat di negeri itu akan turut diadakan selepas simulasi tersebut bagi memberi kefahaman dan penjelasan secara terperinci mengenai pelaksanaan, matlamat, manfaat dan mekanisme PSS.

"Kita juga akan menjawab dan memberi penjelasan kepada mana-mana persoalan yang menimbulkan kemusykilan selain akan turut mempertimbang cadangan disuarakan bagi menambahbaik pelaksanaan PSS.

"Kita yakin mereka akan menyokong PSS sekiranya memahami mengapa ia perlu dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat JKPWAS-Teknikal di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sabah, di sini, hari ini.

Pengeluaran PSS bermula 1 Jun 2020 itu adalah bagi menggantikan tiga jenis dokumen dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung.

Tiga dokumen itu kebanyakannya dikeluarkan kepada warganegara Filipina iaitu kad IMM13 bagi warga asing berstatus pelarian, Sijil Banci ketika program pemutihan Pasukan Petugas Khas Persekutuan dan Kad Burung-Burung yang dikeluarkan pada 1970 hingga 1990-an.

PSS dikeluarkan bagi meningkatkan penguatkuasaan sekali gus memastikan rekod warga asing di Sabah berpusat serta diseragamkan dan ia hanya sah selama tiga tahun dan perlu diperbaharui pada harga RM120.

Azis berkata JKPWAS-Teknikal akan mengambil kira pandangan serta cadangan disuarakan beberapa pemimpin di Sabah mengenai tempoh sah PSS, bagaimanapun, keputusan akhir sama ada memendekkan atau memanjangkan tempoh sah itu ditetapkan oleh JKPWAS-Induk.

Pun begitu, JKPWAS-Teknikal yang dianggotai seramai 20 orang termasuk daripada Jabatan Tenaga Kerja Sabah, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara berpendapat tempoh sah PSS selama tiga tahun adalah sesuai, katanya.

Azis berkata PSS yang akan dikeluarkan dalam bentuk kad dengan ciri keselamatan seperti biometrik, gambar dan cap jari itu diharap akan dapat menyelesaikan isu kepelbagaian dokumen sekali gus memastikan pemantauan pergerakan warga asing oleh pihak berkuasa Sabah dilakukan secara berpusat dan seragam.

Pelaksanaan PSS ini juga dilihat akan dapat mengelakkan berleluasanya sindiket pemalsuan dokumen serta penipuan ke atas warga asing di Sabah, katanya.

-- BERNAMA

2 Comments