Ketua Menteri Sabah: Rayuan Musa Aman ditentukan hari ini
06:11 Nov 28, 2019  |  By SabahKini2
Ketua Menteri Sabah: Rayuan Musa Aman ditentukan hari ini

Rayuan itu akan didengar di hadapan panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Kamardin Hashim, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah

KOTA KINABALU: Rayuan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak saman beliau yang mencabar pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah, didengar hari di Mahkamah Rayuan di sini.

Rayuan itu akan didengar di hadapan panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Kamardin Hashim, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Musa diwakili pasukan peguam diketuai Tengku Fuad Tengku Ahmad manakala Mohd Shafie dijangka diwakili Datuk Doughlas Lind.

Bekas hakim kanan Mahkamah Rayuan Datuk Anantham Kasinather juga dijangka hadir membantu pasukan peguam Musa sebagai peguam kanan selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Anantham diterima masuk secara ad hoc di Mahkamah Sabah pada 15 Nov.

Ketika membuat permohonan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Ismail Brahim, Tengku Fuad berhujah kes itu adalah rumit, yang membangkitkan persoalan sejauh mana kuasa Yang Dipertua Negeri dalam melantik dan memecat ketua menteri.

Beliau berkata kuasa Yang Dipertua Negeri untuk melantik atau memecat ketua menteri masih belum dihujahkan di mahkamah.

Pada 7 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi di sini menolak saman pemula yang difailkan Musa terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Mohd Shafie yang menuntut mahkamah mengisytiharkan Musa sebagai Ketua Menteri yang sah, dan memutuskan bahawa pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri adalah mengikut perlembagaan.

Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Yew Jen Kie merujuk kepada kes negeri Beraja Negeri Perak ketika Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menentang Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Perebutan kuasa antara BN Sabah dan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sekutunya, Pakatan Harapan, bermula berikutan pilihan raya umum tahun lalu selepas terikat 29-29 antara kedua-dua parti itu.

Selepas BN berjaya mendapat sokongan daripada dua wakil rakyat dari Parti Solidariti Tanah Airku (Star), parti itu mengisytiharkan mendapat majoriti mudah, oleh itu, Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 10 Mei.

Bagaimanapun, pada hari berikutnya, enam ADUN BN melompat parti dan menyokong Warisan menyebabkan Musa dikatakan tidak lagi memegang majoriti dan tidak diberi peluang untuk mengadakan 'Undi tidak percaya' sebagaimana tertakluk dalam Perlembagaan Negeri Sabah. Sebaliknya Mohd Shafie yang dilantik Juhar sebagai ketua menteri mengadakan 'Undi Percaya' kepada Ketua Menteri beberapa bulan selepas berkuasa.

2 Comments