Rayuan Musa ditolak, saya hormati mahkamah tetapi ada pandangan berbeza- Rahman
17:11 Nov 28, 2019  |  By SabahKini2
Rayuan Musa ditolak, saya hormati mahkamah tetapi ada pandangan berbeza- Rahman

Isu yang jauh lebih besar dan signifikan yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Rayuan ialah apakah seorang Tuan Yang Terutama mempunyai kuasa untuk memecat seorang Ketua Menteri yang telah dilantik atau tidak.

Hari ini Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan Tan Sri Musa Aman untuk mencabar kesahihan perlantikan Datuk Seri Shafie Afdal sebagai Ketua Menteri.

Saya dimaklumkan bahawa alasan yang digunakan untuk menolak rayuan tersebut ialah kerana isu teknikal atau bersifat akademik iaitu Datuk Seri Shafie Apdal sudah pun mendapat sokongan ahli-ahli DUN sekarang ini.

Sementara saya menghormati keputusan mahkamah, saya mempunyai pandangan berbeza.

Isunya bukanlah DSSA sudah menjadi Ketua Menteri sekarang ini dan sudah pun mendapat sokongan Ahli-Ahli DUN.

Isu yang jauh lebih besar dan signifikan yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Rayuan ialah apakah seorang Tuan Yang Terutama mempunyai kuasa untuk memecat seorang Ketua Menteri yang telah dilantik atau tidak.

Rakyat sebenarnya mahu hakim-hakim Mahkamah Rayuan yang arif membuat tafsiran perlembagaan kerana kegagalan untuk membuat tafsiran itu akan menyebabkan politik Sabah sentiasa bergolak.

Saya menghormati institusi Istana dan kehakiman dan tidak berniat menghina kedudukan TYT. Namun saya berpandangan, roh dan semangat demokrasi yang menzahirkan proses pemecatan seseorang Ketua Menteri perlu dihormati. Ia tidak sepatutnya diputuskan oleh Istana. Ia sepatutnya dikembalikan kepada Dewan Undangan Negeri, tempat suara keramat rakyat bersemayam.

Datuk Seri Panglima Hj Rahman Dahlan
Ketua UMNO Sabah Bahagian Tuaran
28.11.19

5 Comments