Naratif baharu sektor pertanian depani IR4.0
10:11 Nov 29, 2019  |  By SabahKini2
Naratif baharu sektor pertanian depani IR4.0

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata pihaknya melihat potensi yang begitu jelas apabila hari ini Malaysia masih mengimport RM50 bilion bahan makanan.

JOHOR BAHRU: Malaysia perlu bersedia untuk menyediakan peluang pekerjaan baharu di negara ini yang menyaksikan sektor pertanian akan menjadi tumpuan, dinamik dan satu sumber rezeki baharu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata pihaknya melihat potensi yang begitu jelas apabila hari ini Malaysia masih mengimport RM50 bilion bahan makanan.

Katanya, negara perlu bergerak pantas mengisi ruang pengimportan itu dengan memaksimumkan tanah pertanian dan tanah terbiar bagi mengurangkan imbangan perdagangan.

“Sudah sampai masanya Malaysia membuat naratif, melakar pendekatan baharu dengan menyaksikan kepantasan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

“Malaysia mesti bersedia untuk menyediakan peluang pekerjaan baharu yang menyaksikan pertanian akan menjadi tumpuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2019 (HPPNK 2019) yang disempurnakan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di sini, semalam.

Salahuddin berkata, beliau percaya HPPNK akan menghimpunkan semua pemain industri dan petani, selain mengetengahkan teknologi terkini yang boleh diguna pakai pihak berkaitan.

Teknologi dron dalam pertanian meningkatkan hasil

“Bagi kesekian kalinya saya ingin menyatakan pada majlis yang cukup berprestij ini bahawa kami di kementerian menganggap petani kita adalah wira negara dan mereka setaraf pasukan keselamatan yang mempertahankan kedaulatan tanah air.

“Petani adalah mereka yang mempertahankan keselamatan negara, maka dengan itu kita ingin menyatakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani adalah benteng makanan negara,” katanya.

Pada majlis itu, penternak Osman Cheya Kutty dari Johor dinobatkan sebagai penerima Anugerah Penternak Jaya Kebangsaan dan Anugerah Perdana HPPNK 2019 dengan membawa pulang wang tunai RM80,000.

HPPNK 2019 dengan tema ‘Makanan Kita Masa Depan Kita’ berlangsung selama empat hari bermula hari ini sehingga 1 Disember yang menampilkan 350 usahawan terdiri daripada peladang, penternak dan nelayan dari seluruh negara.

Penganjuran tahun ini menampilkan enam kluster aktiviti yang dijalankan sepanjang ekspo iaitu makanan dan minuman, gaya hidup, kesejateraan, hasil pertanian, agroteknologi dan pembangunan modal insan.- BH

2 Comments