Menteri nafi ekspo tatu 'bogel' dianjurkan Kementerian Pelancongan
07:12 Dec 02, 2019  |  By SabahKini2
Menteri nafi ekspo tatu 'bogel' dianjurkan Kementerian Pelancongan

Mohammadin berkata adalah mustahil kementeriannya meluluskan sebarang permohonan penganjuran ada elemen lucah seperti itu. MyCeB agensi MOTAC diarahkan menyiasat kes itu

Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan media akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas penganjur Tattoo Malaysia Expo 2019 susulan peragaan separuh bogel pada acara berkenaan.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, kementerian berkenaan tidak pernah memberi sebarang kelulusan untuk acara peragaan separuh bogel.

“Adalah mustahil untuk meluluskan sebarang permohonan penganjuran yang ada elemen lucah seperti itu sebab itu bukan budaya Malaysia lebih-lebih lagi apabila majoriti rakyatnya beragama Islam.

“Ia juga tidak mempamerkan wajah sebenar Malaysia yang penuh kesopanan dan kesusilaan,” katanya.

 

Menurutnya, kementerian sudah mengarahkan agensi di bawah MOTAC iaitu Malaysia Convention and Exhibition Bereau (MyCeb) menjalankan siasatan.

“Ekspo ini bukan kali pertama diadakan di Malaysia dan tiada kejadian seumpama itu berlaku sejak penganjurannya pada 2015 di Kota Kinabalu, Sabah.

“Saya difahamkan ia diadakan secara tertutup tetapi melanggar tatasusila. Oleh itu, saya mengarahkan MyCeB untuk menyiasat perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penganjuran acara bertaraf antarabangsa baik untuk industri pelancongan namun bukan dengan acara seperti itu.

“Kita akan menanti laporan penuh siasatan dari MyCeB dan kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya mereka didapati melanggar syarat ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, MyCeB dalam kenyataan menegaskan acara berkaitan perlu mendapatkan kelulusan dari pihak berkuasa negeri dan tempatan.

MyCEB sebelum ini memberi sokongan terhadap program berkenaan selepas menyemak semua dokumen dan kelulusan daripada pihak berkuasa negeri dan kerajaan tempatan.

MyCEB memaklumkan pihaknya berhak menarik balik sebarang bentuk sokongan jika berlaku pelanggaran terma seperti yang berlaku pada program berkenaan.

"Penganjuran antarabangsa amat baik untuk industri pelancongan dan ia memberi impak positif kepada ekonomi negara. Tambahan pula, tatu adalah satu bentuk budaya yang amat signifikan kepada rakyat Sabah dan Sarawak," kata MyCEB.

Sementara itu Polis sudah memanggil penganjur Tattoo Malaysia Expo 2019 pagi ini untuk memberi keterangan berhubung peragaan tatu separuh bogel dalam acara tersebut.

 

1 Comment