Kemenangan Anifah terbatal, PRK di Kimanis
16:12 Dec 02, 2019  |  By SabahKini2
Kemenangan Anifah terbatal, PRK di Kimanis

Dengan keputusan Mahkamah Persekutuan itu bermakna pilihanraya kecil perlu diadakan di Kimanis

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengisytiharkan kemenangan bekas menteri luar, Anifah Aman di kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu tidak sah dan terbatal.

Panel 5 hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat berkata, tiada kekhilafan dalam penemuan fakta kes itu oleh hakim pilihan raya.

“Ada beberapa percanggahan dalam tindakan dan ketidakpatuhan terhadap undang-undang pilihan raya secara meluas,” katanya dalam keputusan sebulat suara.

Ini katanya, menjejaskan keputusan pilihan raya.

Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu meraih 11,942 undi menewaskan pencabar terdekat daripada Warisan, Karim Bujang yang mendapat 11,786 undi, dengan majoriti tipis 156 undi.

Panel hakim turut mengarahkan Anifah membayar kos RM70,000 kepada responden, Karim.

Turut menganggotai panel itu ialah Hakim Besar Malaya, Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, David Wong Dak Wah serta Hakim Mahkamah Persekutuan, Rohana Yusuf dan Nallini Pathmananathan.

Anifah yang diwakili Ansari Abdullah, hadir ketika prosiding awal, tetapi beliau meninggalkan kamar sebelum keputusan diumumkan.

Karim yang diwakili Frederick Chang dan Wilson Lai, tidak hadir di mahkamah.

Ansari berkata, beliau diarahkan anak guamnya untuk memohon kelayakan Tengku Maimun, Wong dan Nallini dibatalkan atas alasan mereka sebahagian daripada panel terdahulu yang membenarkan rayuan Karim atas merit untuk petisyen pilihan rayanya.

Bagaimanapun, permohonan itu ditolak sebulat suara.

Kes itu mempunyai sejarah panjang dengan hakim pertama Supang Lian menolak permohonan Karim pada 20 Nov tahun lalu atas alasan beliau gagal mematuhi Peraturan Petisyen Pilihan Raya berhubung beberapa isu.

Ia termasuk gagal menyatakan tarikh pengundian awal dan sebenar dalam petisyennya.

Bagaimanapun, pada 18 Feb lalu, panel 5 hakim yang diketuai Wong memerintahkan petisyen Karim dibawa semula ke Mahkamah Pilihan Raya untuk perbicaraan kerana ada isu bertikaian dibangkitkan.

Pada 16 Ogos lalu, hakim pilihan raya baru, Lee Heng Chung mengisytiharkan kerusi Parlimen Kimanis kosong kerana 284 undi tambahan tidak dilakukan dengan betul di sebuah pusat mengundi dan 57 undi tambahan didapati ditambah secara tidak betul di sebuah lagi pusat mengundi.

Lee mendapati undi tambahan itu ialah faktor yang menjejaskan keputusan di Kimanis dan Suruhanjaya Pilihan Raya melanggar Seksyen 32(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya, oleh itu pilihan raya kecil perlu diadakan di kerusi berkenaan.

3 Comments