IMAMS salah siapa? TKSU KSU Timbalan Menteri atau Menteri?
15:12 Dec 16, 2017  |  By SabahKini2
 IMAMS salah siapa? TKSU KSU Timbalan Menteri atau Menteri?

Sehari selepas dikuatkuasakan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (Motac) hari ini mengumumkan pembatalan pelaksanaan sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) bagi permohonan visa umrah.

Ketua Setiusahanya, Datuk Rashidi Hasbullah berkata, pembatalan itu dibuat selepas mengambil kira aduan orang ramai dan pihak berkaitan dengan industry.

Beliau berkata, kementerian akan mengkaji semula mekanisme bagi memantau dan mengawal syarikat pelancongan serta pengendali umrah daripada menipu jemaah.

"Sistem IMAMS ini bagus tetapi aspek kos yang terbabit perlu diperhalusi kerana ia terlampau mahal.

"Kita tidak mahu rakyat terbeban," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsuddin hari ini berkata beliau tidak tahu apa-apa tentang penglibatan bukan Bumiputera dalam syarikat yang bertanggungjawab melaksanakan sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS).

 “Malah sehari sebelum pitching (pembentangan) saya tanya lagi pegawai saya, ada tak (melibatkan) bukan Bumiputera dan sebagainya?

“Daripada maklumat yang saya terima, tak ada,” kata Mas Ermiyati dalam sidang media di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di Kuala Lumpur petang tadi.

Menjadi persoalan siapakah yang mengarahkan pelaksanaan IMAMS ini dilakukan? Menteri, Timbalan, KSU atau Timbalan KSU.

Memandangkan Timbalan Menteri tidak mengetahui lebih lanjut mengenai syarikat yang dilantik sudah tentu ia menggambarkan ketidak telitian  pegawai utama di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melaksanakan projek ini.

Gambar-gambar yang tular dalam media sosial mengenai pemilik Syarikat Integrated Manasik Monitoring System Sdn Bhd Ryan Loh memberi banyak persoalan. Siapakan Ryan Loh ini sehingga mampu mengendalikan urusan ibadah orang Islam di negara ini.

Editor turut mendapat mesej dalam aplikasi Whatapps yang mengaitkan nama Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian (Pelancongan) Puan Nor Hayati Awang yang menguruskan perkara ini. Jika benar beliau terlibat secara tergesa-gesa untuk melantik syarikat terbabit. Pelbagai pihak berharap Ketua Setiausaha Negara mengambil tindakan tegas. Ini memalukan Kerajaan BN dan juga penjawat awam bagaimana keputusan ‘flip-flop’ ini dibuat.

 Berikut mesej itu.

Komen dari seorang pengendali pakej umrah

Saya terpanggil untuk menyampaikan isu yang sedang diviralkan sekarang ini berkaitan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) ke atas kesemua 65 agensi pelancongan berstatus muasassah di Malaysia.

Status Muassasah adalah agensi pelancongan berlesen yang berdaftar dengan Kementerian Umrah & Haji Saudi serta boleh memproses Visa Umrah di pejabat mereka dan juga telah meletakkan jaminan cagaran Saudi Riyal 200,000 kepada Kementerian Umrah & Haji Saudi.

Saya turut bersimpati pada Kementerian Pelancongan kerana telah menjadi 'punching-bag' hanya kerana sikap sombong dan bongkak Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, yang tidak mahu menerima sebarang pandangan dari agensi pelancongan yang menguruskan umrah dan haji.

Isu sebenarnya disini adalah apakah ada keperluan mengadakan sistem tambahan untuk mengawal penipuan dengan mengenakan caj keatas pengguna?

Antara isu utama lain yang timbul apabila ada keraguan mengenai syarikat yang baru seminggu didaftarkan boleh dianugerahkan tender penyediaan sistem. Dimanakah tahap profesional TKSU apabila membenarkan syarikat yang berusia 'sebulan jagung' untuk menguruskan duit kutipan yang dipungut dari pengguna? Bagaimana pula syarikat 'sebulan jagung' ini juga boleh mendapatkan lesen untuk mengutip dan menguruskan insuran bagi bakal umrah?

Malah melalui semakan SSM mendapati pemilikan syarikat tersebut turut dimiliki oleh tiga individu bukan Islam. Ini bertentangan sama sekali dengan kenyataan media dari Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan yang dikeluarkan pada 15hb Disember 2017 yang mengatakan lembaga syarikat IMAMS adalah terdiri daripada warganegara Malaysia yang beragama Islam.

Adalah menjadi satu keajaiban juga apabila dalam perjumpaan bersama agensi pelancongan, TKSU lebih bersuara dan lebih tahu mengenai sistem berbanding syarikat yang menawarkan penyelesaian itu sendiri. Adakah TKSU bekerja dengan syarikat pembekal sistem iaitu Integrated Manasik Monitoring System Sdn. Bhd.?

Bayangkan syarikat baru ‘sebulan jagung’ menguruskan kutipan sebelum GST sebanyak RM22,100,000 setiap tahun dari pengguna? (RM45 IMAMS + RM40 takaful umrah x 260,000 orang)

TKSU memainkan peranan terlebih kuah apabila dalam perjumpaan bersama agensi pelancongan, beliau menjadi tukang jawab bagi semua soalan berkaitan yang ditanya kepada syarikat pembekal sistem IMAMS.

Diharapkan pihak SPRM dapat menyiasat samada ada penglibatan TKSU Kementerian Pelancongan dalam pengurusan tender yang jelas tidak adil dan berat berat sebelah kepada agensi pelancongan khasnya dan rakyat Malaysia amnya.

Tujuan utama inisiatif Kementerian adalah untuk mengelakkan penipuan dari agensi pelancongan, kini ianya sudah menjadi projek penyediaan sistem pembasmi penipuan dengan caj tambahan kepada pengguna gara-gara percaturan TKSU di Kementerian Pelancongan.

Mungkin ada yang mengatakan caj RM90.10 yang dikenakan adalah terlalu sedikit berbanding kerugian beribu ringgit yang mungkin ditanggung pengguna akibat daripada penipuan. Tetapi TKSU Kementerian Pelancongan lupa, adalah menjadi tanggungjawab kementerian untuk menyediakan platform sumber rujukan percuma kepada pengguna dan bukannya membina perniagaan diatas kelemahan sistem.

Jangan pula nanti ianya menjadi trend dimana perkhidmatan yang menjadi tanggungjawab polis untuk menjaga keselamatan orang awam juga diwajibkan pula membayar duit perlindungan kepada syarikat yang dilantik oleh kementerian untuk menjaga keselamatan dengan caj perlindungan tambahan.

 

15 Comments