Kuasa autonomi Umno Sabah
13:12 Dec 08, 2019  |  By SabahKini2
Kuasa autonomi Umno Sabah

Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata, peralihan tersebut memaktubkan kewujudan Umno Sabah sebagai sebuah entiti politik yang berautonomi kerana hanya orang Sabah yang lebih arif akan masalah dan perkara yang boleh dilakukan di negeri itu.

KUALA LUMPUR: Umno Sabah secara rasmi mengurangkan ikatan dengan Umno pusat apabila ia kini boleh menentukan hala tuju perjuangan sendiri setelah usul berkaitan kuasa autonomi Umno di negeri itu diluluskan ketika pindaan usul mesyuarat khas bersempena Persidangan Agung Umno 2019 (PAU 2019).

Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata, peralihan tersebut memaktubkan kewujudan Umno Sabah sebagai sebuah entiti politik yang berautonomi kerana hanya orang Sabah yang lebih arif akan masalah dan perkara yang boleh dilakukan di negeri itu.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, usul tersebut dibincangkan dan dipersetujui pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno kira-kira 5 bulan lepas dan seterusnya perkara itu menunggu masa untuk diluluskan pada PAU ke-73, kali ini.

“Kita diberi kuasa untuk menguruskan segala urusan. Ia masih ‘Umno’, cumanya kita akan lokalkan. Soal calon, soal pemimpin, soal kerusi yang kita tanding, termasuk (pilihan raya kecil) Kimanis nanti akan diputuskan oleh Umno Sabah sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penutupan PAU 2019, di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini semalam

Ditanya mengenai hala tuju Umno Sabah selepas ini, katanya, pada ketika ini pihaknya belum menggariskan sebarang perincian, namun meneruskan usaha memperkuatkan parti itu.

Ditanya mengenai usul berkaitan kuasa autonomi Sabah itu yang tidak disebut dalam 12 usul pindaan perlembagaan Umno, jelasnya ia merupakan usul yang berbeza.

“Ia tidak dimasukkan kerana usul itu terlalu panjang lebar, tetapi ia dimasukkan ke dalam perlembagaan Umno itu sendiri di mana autonomi itu diletakkan di bawah ‘Sabah Chapter’,” jelasnya.

Mengenai pemilihan calon PRK Parlimen Kimanis yang akan dibuatnya, Bung Moktar berkata, situasi Umno Sabah dengan kuasa autonomi itu ibarat “suatu kebetulan yang menyenangkan”.

Ketika ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunggu perakuan daripada Mahkamah Persekutuan bagi mengambil tindakan selanjutnya untuk mengadakan PRK di Parlimen Kimanis yang kini kosong susulan keputusan mahkamah membatalkan kemenangan Anifah Aman selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Calon Parti Warisan Sabah Karim Bujang memfailkan petisyen pada 18 Jun 2018 bagi mencabar kemenangan Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

 

5 Comments