Anwar PM8 tidak patut dibincangkan dalam Kongres Nasional PKR kata Tian Chua
13:12 Dec 08, 2019  |  By SabahKini2
Anwar PM8 tidak patut dibincangkan dalam Kongres Nasional PKR kata Tian Chua

Tian Chua berkata tidak perlu dia tunjuk sokongan dengan angkat plakad Anwar PM8. Katanya dia setia dengan perjuangkan parti.

AYER KEROH: Naib Presiden PKR, Tian Chua “diboo” perwakilan beberapa kali ketika menyebut nama Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin yang meninggalkan Kongres Nasional parti separuh jalan semalam kerana tidak berpuas hati dengan ucapan dasar Presiden, Anwar Ibrahim serta perbahasan perwakilan.

Walaupun berulang kali diganggu, bekas ahli Parlimen Batu itu tetap meneruskan ucapan dengan berkata, beliau tidak takut untuk berdepan perwakilan.

Tian Chua juga berkata istilah "pengkhianat" yang digunakan beberapa perwakilan dalam perbahasan kongres semalam tidak sewajarnya digunakan

“Suruh pecat dan cakap pengkhianat. Kami ini tidak takut untuk pertahan parti.

"Nak sorak-sorak pengkhianat. Saya tidak takut. Untuk berdepan dan berbahas (sekali pun). Hujah lawan hujah.

"(Tetapi tidak wajar) menganggap kita pengkhianat kerana kita telah berkorban dan menyumbang selama 20 tahun untuk parti. (Hanya) kerana tak sependapat dalam beberapa perkara.

"Saya ingin tegaskan lagi, kini rakyat meneliti adakah PKR layak menjadi parti pemerintah. Kelayakan ini bukan melalui sorakan.

"Kelayakan ini harus kita lihat bagaimana kita membentuk parti yang bersatu. Parti yang boleh menjadi inklusif meskipun terdapat pelbagai pandangan," katanya.

Anwar kemudiannya bangun dan memberi isyarat tangan meminta perwakilan bertenang.

Sementara itu, Tian Chua berkata, isu Anwar menjadi perdana menteri ke-8 tidak patut dibincangkan dalam Kongres Nasional PKR kerana ia sudah dipersetujui pemimpin parti komponen Pakatan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

“Perkara ini sudah ditetapkan…Saya setuju jika bincang isu air dan nasional.

“Saya tak perlu tunjuk sokongan dengan angkat plakad Anwar PM8. Saya setia perjuangkan parti,” katanya.

Comment