Warisan bukan komponen PH, Pemuda setuju PH tanding di Kimanis
16:12 Dec 11, 2019  |  By SabahKini2
Warisan bukan komponen PH, Pemuda setuju PH tanding di Kimanis

Ini adalah konsensus yang dicapai oleh rakan-rakan saya daripada parti-parti dalam PH,” kata Ketua Pemuda PKR Sabah, Raymond Ahuar, yang juga mengetuai Pemuda PH negeri.

KOTA KINABALU: Pemimpin Pemuda Pakatan Harapan (PH) di Sabah mahu gabungan itu bertanding pada Pilihan Raya Kecil Kimanis, yang menyaksikan Warisan tewas tipis pada pilihan raya umum lalu.

Kecuali DAP, semua pemimpin Pemuda PH negeri itu bersetuju menggesa pemimpin parti menyambut idea tersebut, hasil daripada mesyuarat malam tadi.

Pemuda DAP mengatakan mereka neutral terhadap perkara itu. Warisan pula bukan sebahagian daripada PH.

“Ini adalah konsensus yang dicapai oleh rakan-rakan saya daripada parti-parti dalam PH,” kata Ketua Pemuda PKR Sabah, Raymond Ahuar, yang juga mengetuai Pemuda PH negeri.

Kenyataan Raymond Ahuar yang juga Setiausaha Politik Datuk Christina Liew adalah bertentangan dengan kenyataan Pengerusi PH Sabah itu yang mahu Warisan kekal bertanding dikerusi itu.

Beliau menggesa mesyuarat antara PH dan Warisan, yang mengetuai kerajaan negeri, diadakan untuk menentukan pilihan calon.

Minggu lepas, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan keputusan Kimanis pada PRU tahun lalu.

Kerusi Parlimen itu sebelum ini dimenangi bekas menteri luar, Anifah Aman yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN), dengan hanya majoriti 156 undi menewaskan Karim Bujang daripada Warisan.

Karim, yang mengetuai Warisan Bahagian Kimanis, berkata beliau bersedia untuk bertanding di kerusi itu semula.

1 Comment