(VIDEO) PSS: Semenanjung Dapat 3 Bulan Masuk Sabah, Apa Istimewanya PTI 3 Tahun?
15:01 Jan 15, 2020  |  By SabahKini2
(VIDEO) PSS: Semenanjung Dapat 3 Bulan Masuk Sabah, Apa Istimewanya PTI 3 Tahun?

PSS punya agenda tersembunyi. PTI dapat 3 tahun. Rakan-rakan dari Semenanjung dapat 3 bulan.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Yaakub Khan berkata, semua pihak terutama jentera BN jangan sesekali takut pada sebarang ugutan terutama apabila berbicara mengenai Pas Sementara Sabah (PSS).

Ujar beliau, Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis ini harus dijadikan medan permulaan untuk menentang pelaksanaan PSS.

“Kita tidak harus takut pada sebarang ugutan dalam pilihan raya ini terutama apabila penceramah mengutarakan pasal PSS.

“Saya sendiri risau dengan PSS ini. Sudah namanya PTI (Penduduk Tanpa Izin) jadi kenapa diiktiraf untuk berkeliaran di bumi Sabah ini.

“Rakan-rakan kita dari Semananjung IC (Kad Pengenalan) sama dengan kita hanya dapat tiga bulan lepas itu kena keluar, jadi apa istimewanya PTI dapat tiga tahun?” ujar beliau ketika berkempen di Kampung Kiulu Baru di PDM Lumat.

Tambah Yaakub, sudah pasti kerajaan mempunyai agenda tersembunyi dalam isu PSS ini.

“Jadi apa logiknya? Pasti ada agenda… jangan nanti kuburan kita dikencing oleh anak cucu-cicit kita kerana kita membenarkan perkara ini dilaksanakan,” tegas beliau.

Selain itu Yaakub juga menerangkan bahawa sebenarnya BN tidak kalah di Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Walaupun undang-undang menafikan kemenangan BN di Sabah dalam PRU-14 yang lalu, namun selaku parti yang matang BN menyerahkannya secara aman tanpa ada provokasi melampau.

“Inilah yang membezakan antara BN dan PH sewaktu mereka menjadi pembangkang dahulu.

“Kalaulah yang berlaku ini terjadi sebaliknya pasti mereka telah berguling di atas jalan raya, harga minyak naik pun pemimpin mereka sudah berguling tapi sekarang perkara sebegini tidak berlaku sebab kita matang dalam politik, bukan seperti mereka,” bidas beliau lagi. – UMNO ONLINE

Comment