Coronavirus: China batal 80 peratus tempahan cuti - MITA
13:01 Jan 28, 2020  |  By SabahKini2
Coronavirus: China batal 80 peratus tempahan cuti - MITA

80 peratus tempahan percutian membabitkan hampir 300,000 pelancong China dibatalkan berikutan jangkitan coronavirus baharu (2019-nCoV).

KUALA LUMPUR: Ahli Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) mendakwa menanggung kerugian besar apabila 80 peratus tempahan percutian membabitkan hampir 300,000 pelancong China dibatalkan berikutan jangkitan coronavirus baharu (2019-nCoV).

Presiden MITA, Uzaidi Udanis, berkata ejen pelancongan MITA tidak menerima sebarang tempahan percutian membabitkan pelancong China ke negara ini bermula Februari dan bulan seterusnya.

Katanya, pembatalan saat akhir itu mencetuskan masalah memandangkan pihak ejen berdepan masalah aliran tunai berikutan sudah membayar tempahan awal kepada pihak hotel yang menyediakan penginapan.

“Menerusi perbincangan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), kami meminta pihak hotel melakukan pembayaran balik kepada ejen kerana isu yang berlaku di luar jangkaan dan bersifat global.

“Langkah itu diambil kerana ia akan menjejaskan operasi dan aliran tunai agensi pelancongan, malah situasi ini dibimbangi akan menyebabkan banyak syarikat pelancongan terpaksa ditutup,” katanya

MITA mempunyai 2,000 ahli yang kebanyakannya memberi tumpuan kepada pasaran pelancong di China.

Tahun lalu, tiga juta pelancong China mengunjungi negara ini dengan sejuta daripada jumlah itu diselia oleh ejen MITA.

Ketika ini, MITA turut giat mengumpulkan data bagi mencatat jumlah kerugian semasa yang mana kebanyakan yang membatalkan percutian adalah pelancong dari Shanghai dan Beijing.

Uzaidi berkata, jangkitan coronavirus tidak seharusnya menimbulkan situasi panik memandangkan pihak berkuasa di lapangan terbang sudah menjalankan saringan bagi memastikan tiada pelancong dijangkiti berada di negara ini.

“Jika perkara ini berlarutan, ia boleh menjejaskan ekonomi pelancongan memandangkan anggaran perbelanjaan pelancong China adalah RM3,655 setiap seorang,” katanya.

Comment