Mohammadin mahu beri surat, Sabah pula gantung semua penerbangan dari China
16:01 Jan 30, 2020  |  By SabahKini2
Mohammadin mahu beri surat, Sabah pula gantung semua penerbangan dari China

Nampaknya berbeza dengan arahan Menteri Pelancongan mahu jangan ada halangan terhadap pelancong China. Namun Kerajaan Negeri Sabah pula bertindak menggantung semua penerbangan dari China ke Sabah..

KOTA KINABALU: Sekalipun semalam Mohamaddin Ketapi Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dalam sidang media bersama Menteri Kesihatan berang larangan pelancong melawat pusat -pusat pelancongan dan akan menghantar surat kepada mereka namun hari ini Kerajaan Negeri Sabah menggantung semua penerbangan dari China ke Sabah berkuatkuasa serta-merta sehingga diberitahu kelak, kata Timbalan Ketua Menteri Christina Liew.

Liew berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat Kabinet semalam memandangkan ancaman koronavirus. Tindakan ini sudah tentu bertentangan amaran Menteri Pelancongan, Seni dan budaya dari Sabah itu.

Beliau berkata penggantungan ini hanya sementara dan operasi akan disambung semula selepas keadaan kembali normal.

“Walaupun penggantungan ini akan beri kesan pada industri pelancongan negeri, kami mahu mengelakkan risiko mendedahkan rakyat kita kepada mana-mana pembawa koronavirus novel 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, larangan perjalanan ini keputusan yang sukar dan mungkin tidak disambut baik oleh pemain pelancongan.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri harus pastikan kita tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat, memandangkan ketidaktentuan keadaan wabak koronavirus,” katanya.

Liew berkata pejabat setiausaha kerajaan negeri akan memaklumkan semua penerbangan yang beroperasi di laluan China-Kota Kinabalu akan keputusan kerajaan negeri itu.

“Ini bermakna semua penerbangan dari China akan dihentikan, dan tiada laluan masuk bagi semua pelancong dari bandar-bandar China ke Kota Kinabalu sepanjang tempoh penggantungan,” katanya.

Kerajaan negeri ambil maklum kerajaan China melarang warganya di Wuhan, Xi’an, Beijing, Tianjin, dan Guangzhou keluar negara.

“Jabatan kesihatan negeri sentiasa memaklumkan perkembangan terkini kepada kerajaan Sabah. Walaupun tiada kes dikenalpasti di Sabah, kita harus berwaspada dan mengamalkan tabiat kebersihan diri yang baik,” katanya.

 

3 Comments