Video bekas suami cemburu, pukul doktor sehingga retak pada tengkorak
09:01 Jan 31, 2020  |  By SabahKini2
Video bekas suami cemburu, pukul doktor sehingga retak pada tengkorak

Suspek dipercayai cemburu dengan mangsa berikutan mangsa mengenali bekas isteri suspek yang juga seorang jururawat di hospital berkenaan.

KEJADIAN doktor lelaki dipukul di hospital di Sungai Petani sehingga tular di media sosial dipercayai akibat cemburu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian itu berlaku pada 23 Januari lalu di klinik ortopedik hospital berkenaan ketika doktor berusia 30 tahun itu bertugas.

Bagaimanapun, suspek utama iaitu lelaki berusia 37 tahun sudah ditahan sehari selepas kejadian dan direman selama empat hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Suspek dipercayai cemburu dengan mangsa berikutan mangsa mengenali bekas isteri suspek yang juga seorang jururawat di hospital berkenaan.

“Tuntutan balas kes fasakh yang dibuat oleh suspek tidak berpihak padanya menyebabkan suspek semakin tidak berpuas hati dengan mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam kejadian itu mangsa dikatakan didatangi lapan lelaki termasuk suspek sebelum suspek menumbuk mangsa.

Katanya, ekoran kejadian itu, mangsa dimasukkan ke wad kecemasan zon merah berikutan tidak sedarkan diri selain mengalami kecederaan di bahagian bawah mata kiri dan luka pada muka.

“Pegawai perubatan mengesahkan mangsa mengalami retak pada tengkorak iaitu pada bawah mata sebelah kiri, bagaimanapun, mangsa kini dilaporkan stabil,” katanya.

Beliau berkata, kertas siasatan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dan dalam proses tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

Video berdurasi 58 saat itu memaparkan doktor berkenaan diserang sekumpulan lelaki yang menumbuk serta menyepak doktor itu beberapa kali sebelum mangsa dilihat tidak sedarkan diri- HM

4 Comments