Jamilah Timbalan Presiden PBS kuota Bumiputera Islam yang ‘bermasalah’ keluar PBS
04:02 Feb 04, 2020  |  By SabahKini2
Jamilah Timbalan Presiden PBS kuota Bumiputera Islam yang ‘bermasalah’ keluar PBS

Selepas Adun Labuk Abdul Rahman Kongkawang kini Timbalan Presiden PBS kuota Bumiputera Islam pula cabut dari PBS. Jamilah dikatakan sejak dahulu bermasalah berpanjangan dengan Pemuda dan Wanita PBS

KOTA KINABALU: Selepas kehilangan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) kuota Bumiputera Islam Abdul Rahman Kongkawang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN) September 2019 dengan bayaran tertentu kini PBS kehilangan seorang lagi pemimpin kanannya

Kali ini Timbalan Presiden PBS bagi kuota Bumiputera Islam Datuk Hajah Jamilah Sulaiman pula mengisytiharkan keluar daripada parti.  Beliau yang juga Ketua Bahagian PBS N.28 Sindumin turut melepaskan semua jawatannya dalam parti itu.

Katanya beliau membuat keputusan itu setelah mengadakan perbincangan dari hati ke hati bersama penyokong dan pendokong setia PBS khususnya di bahagian Sipitang.

“Dengan mengambil kira pandangan dan perjuangan mereka bersama saya dalam PBS selama ini, maka saya mengambil keputusan meletak semua jawatan dalam parti dan mengisytiharkan keluar dari PBS dan berhenti daripada menjadi ahli PBS.

Hilang kepercayaan kepada Maximus J Ongkili!

 “Saya membuat keputusan ini kerana hilang kepercayaan dengan kepimpinan Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr Maximus J Ongkili. Beliau seorang pemimpin yang tidak konsisten, tidak berpegang kepada kata-katanya, tidak bertimbang rasa, pilih kasih dan hipokrit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jamilah telah bersama-sama dalam perjuangan PBS selama 32 tahun dibawah kepimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan 1 tahun 2 bulan dibawah kepimpinan Dr Maximus.

Jamilah hanyalah ‘tangkap muat’ dipilih menjadi Timbalan Presiden PBS bagi kuota Bumiputera Islam yang kini semakin tandus dalam PBS. Beliau hanyalah untuk menunjukkan betapa Bumiputera Islam masih wujud dalam PBS.

Jamilah dipilih sebagai salah seorang daripada tiga Timbalan Presiden pada Persidangan Perwakilan Tahunan yang ke 33 pada November 2018. Penyandang lain ialah Datuk Seri Panglima Radin Malih dan Datuk Dr Yee Moh Chai.

“Memandangkan saya tidak dapat bekerjasama dengan YB. Presiden dan “gengnya” dalam PBS, maka adalah Iebih baik saya keluar dari parti saja.

“Walaupun amat berat bagi saya untuk mengambil keputusan meninggalkan PBS setelah berjuang bersama parti itu Iebih daripada 33 tahun,” katanya.

“Pada masa ini saya mahu berehat dari politik untuk sementara waktu dan setakat ini masih belum membuat sebarang keputusan mengenai masa depan karier politik saya,” tambah Jamilah.

Jamilah merupakan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sipitang (1990-1994) dan Ahli Dewan Negara (2012-2018)

Sumber-sumber tertentu Jamilah akan menyertai parti Kerajaan yang bakal diumumkan kemudian.

PBS terima keputusan Jamilah

Sementara itu Parti Bersatu Sabah (PBS) memutuskan menerima keputusan Datuk Jamilah Sulaiman untuk meninggalkan parti itu.


Jamilah sempat bersama PBS dan BN dalam kempen PRK Kimanis

Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata peletakan jawatan Jamilah yang merupakan salah seorang daripada tiga timbalan presiden parti selepas membuat perbincangan bersama Biro Politik.

Mengesahkan telah menerima surat peletakan jawatannya dari semua jawatan dan keahlian dalam parti, Dr Maximus mengharapkan yang terbaik untuk Jamilah dalam perjuangan politiknya di masa hadapan. 

“Kepimpinan parti menyedari bahawa beliau mempunyai masalah hubungan yang berterusan, terutama sekali dengan Pergerakan Pemuda dan Wanita PBS. 

“Jamilah seringkali dilihat masuk campur dalam perihal yang berada di luar spesifikasi dan bidang tugasnya. Beliau juga beberapa kali telah mengugut untuk meletakkan jawatan apabila kedua-dua pergerakan tidak menyatakan sokongan kepada beliau,” kata Dr Maximus mengulas pengumuman Jamilah untuk meninggalkan PBS. 

Dr Maximus menambah sepanjang penglibatan Jamilah di dalam parti, PBS sering memberi peluang kepada beliau untuk  berkhidmat kepada ahli dan rakyat Sabah, terutama sekali apabila parti itu berada dalam kerajaan Barisan Nasional.

“PBS juga menamakannya untuk berkhidmat dua penggal sebagai Senator di bawah kuota parti,” katanya.

 

 

2 Comments