Badan Peguam gesa undang-undang larang kerajaan saman fitnah
21:02 Feb 21, 2020  |  By SabahKini2
Badan Peguam gesa undang-undang larang kerajaan saman fitnah

Badan Peguam Malaysia mempunyai keraguan yang serius mengenai keputusan itu, yang memberikan kesan menakutkan terhadap wacana awam dengan berkesan membolehkan kerajaan menindas pandangan, mengurangkan luahan pendapat dan pelaporan berita, serta menyekat r

Badan Peguam Malaysia menggesa kerajaan untuk menggubal undang-undang untuk melarang mana-mana pentadbiran di negara ini daripada mengemukakan saman fitnah.

Dalam satu kenyataan hari ini, presidennya, Abdul Fareed Abdul Ghafoor berkata saman fitnah akan menyekat demokrasi dan menjejaskan wacana awam mengenai tadbir urus yang baik.

Katanya, keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Chong Chieng Jen lawan Kerajaan Negeri Sarawak memutuskan bahawa pihak berkuasa awam mempunyai hak untuk mengemukakan saman fitnah.

"Bagaimanapun, Badan Peguam Malaysia mempunyai keraguan yang serius mengenai keputusan itu, yang memberikan kesan menakutkan terhadap wacana awam dengan berkesan membolehkan kerajaan menindas pandangan, mengurangkan luahan pendapat dan pelaporan berita, serta menyekat ruang demokratik, melalui ancaman saman fitnah," katanya.

Abdul Fareed Abdul Ghafoor berhujah bahawa kerajaan yang diberi tanggungjawab dan kuasa besar memerlukan pemerhatian dan kritikan awam untuk mengekalkan skala kuasa itu.

Merujuk kes saman fitnah oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya terhadap aktivis hak asasi haiwan Koh Tat Meng, Abdul Fareed berkata defendan disaman selepas mendakwa majlis itu menyalahgunakan kuasa.

"Penyelesaiannya bukanlah untuk memulakan saman balas untuk fitnah tetapi dengan menjawap atau menangkis dakwaan sedemikian, dengan bukti bersesesuaian, semasa perbicaraan.

"Kerajaan, sebagai badan awam, tidak boleh melakukan kesalahan dengan cara yang sama dengan individu perseorangan.

"Lebih-lebih lagi, dana awam perlu digunakan untuk perkhidmatan kepada orang ramai berbanding membiayai kos tindakan undang-undang," katanya.

- mkini

Comment